Ronaldo optimis Ballon d’Or miliknya

Ronaldo optimis Ballon d’Or miliknya

PARIS, 22 Nov – Cristiano Ronaldo (gambar) yakin dia mampu merangkul Ballon d’Or buat kali keempat selepas melakar tahun yang gemilang apabila Portugal mengecewakan Perancis pada final Euro 2016.

Penyerang berusia 31 tahun itu yang ditemuramah France Football berkata, ‘Les Bleus’ menyangka mereka akan meraih kemenangan mudah dan tersenyum lebar sebelum aksi final di Stade de France, Julai lalu.

Bagaimanapun, juara benua itu menjadi milik Portugal yang juga trofi antarabangsa pertama buat mereka yang menyaksikan ‘detik paling hiba’ dalam kariernya selaku pemain terbaik dunia tiga kali.

Ronaldo meninggalkan padang dengan linangan air mata apabila dipaksa keluar selepas mengalami kecederaan lutut pada separuh masa pertama.

“Saya tidak boleh membengkokkan kaki saya. Ia bukan aksi final yang saya idamkan kerana saya tidak dapat beraksi,” katanya mengimbas detik final itu.

Jumaat lalu, Persekutuan Bola Sepak Portugal menyiarkan video yang memaparkan kapten pasukan itu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, Fernando Santos dan rakan sepasukannya atas ‘detik paling menggembirakan dalam hidupnya’ itu.

Temuramah France Football itu menggunakan tajuk ‘Griezmann memberitahu saya, ‘saya benci awak’ tanpa apa-apa maklumat lanjut sebelum majalah mingguan itu diterbitkan.

Mengulas lanjut mengenai peluangnya untuk meraih gelaran pemain terbaik dunia tahun ini, Ronaldo mengakui dia ‘yakin dan tenang’ selepas mengharungi musim terbaiknya termasuklah meraih gelaran Liga Juara-Juara.

Ronaldo yang merangkul Ballon D’Or pada 2008, 2003 dan 2014 menjadi pilihan utama untuk meraih kembali gelaran itu selepas muncul penjaring terbanyak Liga Juara-Juara dengan 16 gol serta gelaran Euro 2016. – AFP