Ronaldo sambut anak keempat

MADRID, 13 Nov – Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo telah mengumumkan bahawa dia menjadi bapa buat kali keempat selepas teman wanitanya, Georgina Rodriguez melahirkan seorang anak perempuan, Alana Martina.

“Alana Martina baru sahaja dilahirkan! Kedua-dua Geo dan Alana dalam keadaan baik. Kami semua sangat gembira,” kenyataan bintang bola sepak itu melalui Twitter, memuat naik gambar dirinya, Georgina, anak lelakinya berusia tujuh tahun dan anak damit barunya.

Ronaldo juga bapa kepada sepasang kembar, Eva dan Mateo, yang baru dilahirkan pada bulan Jun.

Hujung bulan Oktober, bintang Portugal itu telah mendedahkan nama anaknya itu dalam satu video melalui media sosial serta tarikh jangkaan bagi kelahiran anak damit itu pada awalnya 21 November.

Ronaldo menyambut kelahiran anaknya, Alana Martina selepas direhatkan oleh jurulatih Portugal, Fernando Santos daripada perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi dan Amerika Syarikat semasa rehat antarabangsa ini. – AFP