Ronaldo tekad sapu baki perlawanan

Ronaldo tekad sapu baki perlawanan

AVEIRO, Portugal, 9 Okt – Cristiano Ronaldo melaungkan kepulangannya ke pentas antarabangsa dengan meledak empat gol dalam kemenangan 6-0 ke atas Andorra kelmarin. Bintang Portugal itu turut menuntut lapan lagi kemenangan pada baki perlawanan kelayakan Piala Dunia Kumpulan B bagi memastikan tempat ke Piala Dunia 2018 di Russia.

Ronaldo melebarkan rekod jaringannya bersama Portugal kepada 65 gol dalam 134 penampilan tetapi pasukannya, juara Eropah, hanya menduduki tangga ketiga kumpulan. Portugal ketinggalan satu mata di belakang pasukan kerdil Faroe Islands dan tiga di belakang pendahulu, Switzerland.

Hanya juara kumpulan akan mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia.

“Kami tahu Switzerland dan Faroes turut menang malam ini (awal pagi tadi) dan kami perlu menewaskan mereka pada pusingan kelayakan ini,” kata Ronaldo.

“Masih ada baki lapan perlawanan dan kami mahu memenangi kesemuanya untuk mara ke final Piala Dunia.”

Ronaldo meraikan jaringan ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 antara Portugal dan Andorra di Aveiro. – AFP
Ronaldo meraikan jaringan ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 antara Portugal dan Andorra di Aveiro. – AFP

Ronaldo, 31, turun buat kali pertama bersama negaranya sejak kecederaan di final Euro 2016 di mana dia hanya menyaksikan dari luar padang Portugal menewaskan Perancis untuk bergelar juara Eropah Julai lalu.

Dia tidak mengambil masa lama untuk menebus ketiadaannya di pentas antarabangsa, dengan jaringan pertama dilakukan hanya selepas 73 saat. Dua minit kemudian Ronaldo sekali lagi menemui sasaran dan dua gol lagi ditambah selepas rehat.

“Saya tahu saya pemain yang penting dan saya sentiasa melakukan sebaik mungkin sejak memulakan karier antarabangsa.

“Saya meledak empat gol malam ini dan sudah tentu saya gembira dapat kembali beraksi selepas kecederaan di final Euro,” katanya. Portugal akan kembali beraksi menentang Faroe Islands Isnin ini (awal pagi Selasa). – AFP

ARTIKEL YANG SAMA