Rondaan bersa...

Rondaan bersama cegah jenayah

Oleh Yusrin Junaidi

 

TEMBURONG, 20 April – Unit Pengawasan Kejiranan Balai Polis Bangar, Daerah Polis Temburong telah menjalankan rondaan bersama di kawasan berasingan di Mukim Amo dan Mukim Labu baru-baru ini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung terus terjamin serta bebas daripada aktiviti-aktiviti yang kurang sihat.

Rondaan bersama itu juga secara tidak langsung telah mewujudkan kesepaduan anak-anak buah kampung masing-masing dalam sama-sama menjaga keselamatan kawasan kejiranan mereka.

Seramai 12 orang ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung Selangan/Parit/Sibulu diketuai oleh Ketua Kampung Selangan, Awang Dulamit bin Haji Burot selaku Pengerusi PK terlibat dalam rondaan yang turut disertai Penghulu Mukim Amo, Haji Bahrun bin Haji Talip.

Sementara itu, rondaan kedua diketuai oleh Penghulu Mukim Labu, Haji Abdurahman bin Haji Nasir dan pemangku Ketua Kampung Piasau-Piasau, selaku Penasihat dan Pengerusi PK.