Rondaan cegah jenayah giat dijalankan

Rondaan cegah jenayah giat dijalankan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac – Balai Polis Limau Manis, baru-baru ini, telah menjalankan rondaan pencegahan jenayah bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung Batang Perhentian dan Wasan.

Sebelum rondaan, ahli-ahli pengawasan kejiranan terlebih dahulu mendengar taklimat situasi jenayah diadakan di Bilik Gerakan Balai Polis Limau Manis.

Rondaan yang disertai 13 orang anggota polis dan lima orang ahli PK itu telah diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Limau Manis, Inspektor Haji Mohd Shamsul Bahreen bin Haji Abu Bakar.

Turut hadir ialah Ketua Kampung Batang Perhentian dan Wasan, Awang Mat Noor bin Ma’roof.

Rondaan menggunakan tiga buah kereta polis yang bermula jam 8:30 malam itu melibatkan pemeriksaan ke atas kediaman pekerja asing Syarikat Swee Sdn Bhd dan rondaan kawasan di bawah jagaan Ketua Kampung Batang Perhentian dan Kampung Wasan, Mukim Pengkalan Batu.

Antara yang terlibat dalam rondaan tersebut.
Antara yang terlibat dalam rondaan tersebut.

Bagaimanapun, rondaan tidak ada mendapati sebarang perkara yang mencurigakan.

Manakala itu, di Daerah Temburong, operasi sama juga telah dijalankan oleh Daerah Polis Temburong dengan melibatkan 10 orang anggota Unit PK Balai Polis Bangar, empat ahli PK Kampung Labu Estate dan seorang ahli PK Kampung Piasau-Piasau.

Turut menyertai aktiviti tersebut ialah Penasihat PK Mukim Labu, Haji Abdurahman bin Haji Nasir dan Pengerusi PK Labu Estate, Haji Sulaiman bin Haji Nasir.

Rondaan berjalan kaki dijalankan di sekitar kawasan Kampung Labu Estate, termasuk menjalankan sekatan jalan raya dan pemeriksaan kenderaan, setelah itu rondaan menggunakan kenderaan sekitar dilakukan di kawasan Kampung senukoh menuju ke kawasan Kampung Piasau-Piasau, bagaimanapun, tiada kesalahan ditemui.

ARTIKEL YANG SAMA