Rondaan kampung terus dilaksana

Rondaan kampung terus dilaksana

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Dalam sama-sama menjaga keamanan dan keselamatan kampung, Pasukan Polis Diraja Brunei terus mengadakan rondaan pencegahan jenayah bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan, yang sekali gus dapat mengeratkan lagi silaturahim bersama masyarakat kampung.

Balai Polis Sengkurong turut mengadakan rondaan bersama Pengawasan Kejiranan Kampung Kulapis, malam tadi, dengan melibatkan 14 anggota polis dan 18 penduduk kampung.

Terdahulu, rondaan dimulakan dengan mendengar taklimat di rumah Ketua Kampung Kulapis, Haji Timur bin Haji Limbang.

Turut hadir semasa rondaan berkenaan ialah Penolong Pegawai Penguasa Balai Polis Sengkurong, Inspektor Abdul Sahrimin bin Abdul Rahman.

Gambar ramai anggota Balai Polis Sengkurong dan ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Kulapis yang terlibat dalam rondaan pencegahan jenayah berkenaan.
Gambar ramai anggota Balai Polis Sengkurong dan ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Kulapis yang terlibat dalam rondaan pencegahan jenayah berkenaan.
Anggota Balai Polis Berakas bergambar ramai bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung RPN Lambak Kanan Kawasan 2
Anggota Balai Polis Berakas bergambar ramai bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung RPN Lambak Kanan Kawasan 2

Sementara itu, anggota Balai Polis Berakas yang diketuai oleh Penolong Pegawai Penguasa Balai, Penolong Penguasa Polis Percubaan Pengiran Haji Mohammad Saiful Ariff bin Pengiran Haji Duraman telah mengadakan rondaan bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Perpindahan Lambak Kanan Kawasan 2.

Rondaan secara berjalan kaki dan menggunakan kenderaan itu turut disertai oleh Ketua Kampung Perpindahan Lambak Kanan Kawasan 2, Haji Basri bin Abu Bakar serta pesara polis.

Manakala itu, baru-baru ini, Balai Polis Pusat pula telah mengadakan rondaan pencegahan jenayah di Kampung Sungai Matan bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan kampung berkenaan.

Ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sungai Matan yang terlibat dalam rondaan di kampung mereka.
Ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sungai Matan yang terlibat dalam rondaan di kampung mereka.

Rondaan yang melibatkan 18 anggota polis dan 17 ahli pengawasan kejiranan itu diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Pusat, Penolong Penguasa Polis Haji Naguib bin Dato Paduka Haji Ismail dan turut disertai oleh Ketua Kampung Sungai Matan, Pengiran Haji Abdul Rahman bin Pengiran Haji Zainal.

Terdahulu, taklimat mengenai situasi jenayah di kampung itu telah diadakan di Dewan Kebudayaan Kampung Sungai Matan.

Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei mengalu-alukan orang ramai untuk melibatkan diri dalam Pengawasan Kejiranan di kampung masing-masing.

Orang ramai bolehlah mendapatkan borang keahlian melalui ketua kampung di kawasan mereka, yang mana dengan penglibatan melalui Pengawasan Kejiranan ini akan dapat membantu menjadikan kampung masing-masing bebas daripada jenayah dan menjadikan rumah mereka selamat untuk didiami.

ARTIKEL YANG SAMA