Rooney bantu United tewaskan Barcelona

Rooney bantu United tewaskan Barcelona

SANTA CLARA, 26 Julai (AFP) – Wayne Rooney memulakan musim ini dengan jaringan pembakar semangat apabila membantu kemenangan 3-1 Manchester United ke atas Barcelona dalam perlawanan persahabatan, awal pagi tadi.

Selain Rooney, gol Manchester disumbat menerusi Jesse Lingard dan Adnan Januzaj di depan 68,416 penonton yang memenuhi Stadium Levi iaitu gelanggang bagi skuad San Francisco 49ers. Rafinha pula memperoleh gol sagu hati buat Barcelona pada minit ke-90 sebelum Januzaj meledak gol United kira-kira 30 saat selepas itu.

Barcelona, yang tanpa bintang utamanya, Lionel Messi dan Neymar yang berehat selepas beraksi untuk Piala Copa America, memperoleh banyak peluang namun tiada penyudah.

Malah Barcelona mampu mendahului 2-0 ketika minit permulaan permainan menerusi sepakan percuma Luis Suarez yang terkena palang gol manakala satu lagi percubaannya tersasar meskipun sudah menewaskan penjaga gol United, David De Gea.

Namun pada minit ketujuh giliran United mendahului menerusi tandukan Rooney selepas mendapat hantaran Ashley Young hasil sepakan penujuru menewaskan penjaga gol Barca, Marc Andre Ter Stegen.

Wayne Rooney (dua kiri) disaingi Adriano (kiri) dari Barcelona dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa di Santa Clara, California semalam. – AFP
Wayne Rooney (dua kiri) disaingi Adriano (kiri) dari Barcelona dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa di Santa Clara, California semalam. – AFP

Jaringan itu nyata membakar semangat United dengan beberapa siri percubaan bintang baharunya, Memphis Depay.

United hampir menambah pendahuluan mereka pada minit ke-25 apabila Juan Mata memberikan hantaran ke sebelah kanan menemui Rooney yang berjaya mengatasi Ter Stegen tetapi gagal menemui penyudah.

Young juga hampir menggandakan pendahuluan United pada minit ke-28. Pemain sayap kiri itu mara ke dalam wilayah Barcelona dan melepaskan rembatan tepat ke sasaran tetapi gagal membolosi gawang.

ARTIKEL YANG SAMA