Rooney: Euro satu ujian besar

Rooney: Euro satu ujian besar

WATFORD, UK, 2 Jun – Kapten pasukan England, Wayne Rooney menggelar Euro 2016 sebagai “ujian terbesar” sebagai pemain antarabangsa semalam dan mendedahkan dia sudah bercakap dengan pengurus baru Manchester United, Jose Mourinho.

Fokus Rooney kini adalah untuk mengetuai England berdepan Portugal di Wembley awal pagi esok dalam perlawanan pemanas badan terakhir sebelum skuad kendalian Roy Hodgson berlepas ke Perancis.

Namun dengan Mourinho akan melawat pusat latihan United buat kali pertama minggu ini, ada cerita berkaitan Portugal di minda wartawan yang menghadiri sidang akhbar sebelum perlawanan England di hotel dekat Watford, utara London.

Menurut Rooney, Euro 2016 merupakan satu ujian besar buatnya dalam memimpin skuad England. – AP
Menurut Rooney, Euro 2016 merupakan satu ujian besar buatnya dalam memimpin skuad England. – AP

“Secara jelas saya sudah bercakap dengannya. Ia adalah masa yang bagus buat Manchester United, dan buat saya serta pemain lain,” kata Rooney apabila ditanya mengenai pengendali baharu di kerusi panas Old Trafford itu.

“Dia adalah seorang daripada pengurus terbaik di dunia dan sangat berjaya, jadi saya tidak sabar menantinya.”

Mourinho, yang cuba menandatangani Rooney ketika dia bersama Chelsea, menandatangani kontrak tiga tahun bersama United minggu lalu sebagai pengganti pengurus yang dipecat Louis van Gaal.

Rooney tidak akan bermain di bawah Mourinho hingga jelajah pra musim United di China pada Julai dan ketika ini, dia akan menyertai enam kejohanan utama bersama England. – AFP