Rooney kembali beraksi

Rooney kembali beraksi

LONDON, 12 April (AFP) – Penantian panjang Wayne Rooney untuk beraksi semula berakhir apabila turun bersama skuad Bawah 21 Manchester United menentang Middlesbrough di Old Trafford, semalam.

Tersisih selama dua bulan akibat cedera lutut, Rooney tampil buat kali pertama sejak 13 Februari lalu dan beraksi selama 61 minit sambil disaksikan pengurus kelab, Louis van Gaal di tempat duduk penonton.

Van Gaal menjelaskan Rooney berkemungkinan beraksi pada perlawanan ulangan suku akhir Piala FA di West Ham, awal pagi Khamis ini sekiranya penyerang England itu tidak berdepan sebarang masalah lain.

Pemain 30 tahun itu menunjukkan kesungguhan mendapatkan bola dan melakukan tiga percubaan tepat dengan melakukan voli jarak jauh dan dua percubaan melepasi palang.

Rooney kembali beraksi bersama skuad United setelah berehat panjang akibat kecederaan. – AP
Rooney kembali beraksi bersama skuad United setelah berehat panjang akibat kecederaan. – AP

Kepulangan semula Rooney di minggu-minggu akhir musim ini harus menjadi suntikan besar buat Van Gaal yang menyaksikan United sekadar meledak lima gol dalam lapan perlawanan terakhir.

Dengan baki enam perlawanan yang tinggal, United berada di tempat kelima, ketinggalan empat mata di belakang Manchester City, malah Rooney perlu kembali cergas untuk menghadapi Euro 2016.

Pastinya Rooney mahu mengukuhkan kedudukannya dalam skuad Roy Hodgson ketika Harry Kane dan Jamie Vardy menyerlah bersama kelab dan England sepanjang ketiadaannya.

ARTIKEL YANG SAMA