Rooney kembali di depan

Rooney kembali di depan

LONDON, 21 Julai – Louis van Gaal memberitahu Wayne Rooney bahawa dia akan menggalas tugas selaku peledak utama di Manchester United, musim ini.

Selepas beberapa tahun menggalas tugas di pelbagai posisi yang dikehendaki United termasuk pemain tengah, musim lalu, kapten Red Devils itu dijamin kedudukannya selaku penyerang utama bagi kempen selepas ini. United mungkin membeli seorang lagi penyerang ketika ini atau penghujung jendela perpindahan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Radamel Falcao dan Robin van Persie.

Begitupun, difahamkan, Van Gaal dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ed Woodward kekal bertenang dengan situasi yang melanda kelab itu dan percaya Rooney mampu kembali ke prestasi terbaiknya jika digunakan dengan sebaiknya.

Malah kejayaan mengikat penyerang muda, Memphis Depay dan dibantu kehadiran Angel di Maria dan Juan Mata, Van Gaal yakin Rooney memperoleh segala sokongan yang diperlukannya untuk meningkatkan jumlah jaringannya.

Wayne Rooney (kanan) ketika beraksi menentang Club America di Seattle, Washington semalam. - AFP
Wayne Rooney (kanan) ketika beraksi menentang Club America di Seattle, Washington semalam. – AFP

Penyerang England berusia 29 tahun itu tampak mengancam musim lepas sekalipun bermain di pelbagai posisi dengan meledak 14 gol sekali gus muncul penjaring terbanyak United paling sedikit dalam tempoh 33 tahun.

Ketika ini, Rooney diberikan tugas selaku peledak utama pada perlawanan pertama pra-musim United menentang Club America di Seattle, Sabtu lalu dan perkara sama dijangkakan tidak berubah ketika perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris United menentang Tottenham pada 8 Ogos ini. – Agensi