Rooney, Martial kembali berlatih

Rooney, Martial kembali berlatih

MANCHESTER, 25 Nov (AFP) – Penyerang Manchester United, Wayne Rooney dan Anthony Martial kembali menyertai sesi latihan kelab itu, semalam menjelang pertembungan Liga Juara-Juara bertemu PSV Eindhoven, esok.

Kedua-dua penyerang terbabit terlepas perlawanan Liga Perdana Inggeris, minggu lalu yang menyaksikan Man United mencatat kemenangan 2-1 ke atas Watford.

Rooney yang juga kapten Man United terlepas aksi terbabit akibat tidak sihat manakala Martial mengalami kecederaan kaki yang diperoleh ketika beraksi bersama Perancis.

Selain itu, Marouane Fellaini turut menyertai sesi latihan di Pusat Latihan Carrington itu selepas terlepas dua perlawanan akibat kecederaan betis.

Begitupun, Phil Jones yang berdepan kecederaan buku lali dan Ander Herrera (hamstring) ketika bertemu Watford tidak menyertai latihan dengan Bastian Schweinsteiger tidak hadir namun alasannya tidak diketahui.