Rooney masih penting – Big Sam

Rooney masih penting – Big Sam

LONDON, 26 Julai – Pengendali baru England, Sam Allardyce mengakui Wayne Rooney mempunyai peranan penting dalam perancangannya, tetapi tidak memberi jaminan kedudukannya sebagai kapten.

Rooney sebelum ini menyatakan hasratnya untuk terus menjadi ketua pasukan, walaupun dikritik teruk selepas kempen memalukan England di Euro 2016.

Pengendali Manchester United Jose Mourinho minggu lalu berjanji, yang pemain 30 tahun itu akan mengekalkan lilitan kapten di lengannya pada peringkat kelab.

Namun Allardyce, yang bercakap di sidang akhbar pertamanya sejak mengambil alih pasukan daripada Roy Hodgson, tidak dapat menjamin perkara itu.

Sebaliknya penjaring terbanyak England itu perlu menunggu sehingga September apabila Allardyce mengumpul pemain-pemain buat kali pertama menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Slovakia.

Rooney bersama rakan sepasukan menjalani latihan di Shanghai, 21 Julai lalu. – AFP
Rooney bersama rakan sepasukan menjalani latihan di Shanghai, 21 Julai lalu. – AFP

“Saya tidak mahu membuat keputusan sekarang. Ia adalah keputusan yang hanya akan dibuat selepas membuat penilaian,” kata Allardyce berkenaan kedudukan Rooney sebagai kapten.

“Saya perlu menunggu sehingga semua pemain dan jurulatih berkumpul dan merancang untuk perlawanan pada September.

“Saya masih rasa Wayne Rooney mempunyai tempat dalam skuad England. Saya rasa tidak ada keraguan dalam perkara itu.”

Berkenaan posisi Rooney, Allardyce berkata ia bergantung kepada percaturan Mourinho kerana dia tidak akan meletakkan pemain itu di posisi berbeza daripada di United.

“Jika Jose meletakkan Rooney di depan dan dia menjaringkan gol untuk Manchester United, saya tidak akan meletakkannya di bahagian tengah England,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA