Rooney mohon maaf

Rooney mohon maaf

LONDON, 17 Nov – Wayne Rooney (gambar) membuat permohonan maaf kepada pengurus sementara, Gareth Southgate dan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak England (FA), Dan Ashworth selepas pendedahan gambarnya yang memalukan di hotel skuad kebangsaan, minggu lalu.

Kapten England itu disenarai dalam kesebelasan utama ketika England menang 3-0 ke atas Scotland dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di Wembley, perlawanan yang menyebabkan lututnya berdepan kecederaan.

Ia menghalang pemain berusia 31 tahun beraksi dalam perlawanan persahabatan bertemu Sepanyol, semalam yang berakhir seri 2-2 namun di antara tempoh rehat kedua-dua perlawanan itu, akhbar The Sun melaporkan dia didakwa mabuk selepas menyertai parti selepas majlis perkahwinan.

Pemain Manchester United itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan bagi pihaknya kepada Persatuan Akhbar Britain berkata: “Wayne meminta maaf yang gambarnya diambil oleh peminat-peminat dan disiarkan pada hari ini.

“Sekali pun ia adalah hari cuti untuk keseluruhan skuad dan staf, dia sedar sepenuhnya yang imej itu adalah tidak sesuai untuk seseorang sepertinya.

“Dia juga mahu melanjutkan permohonan maaf kepada semua peminat-peminat cilik yang melihat gambar itu.”

Terdahulu, jurucakap FA berkata: “Semua kakitangan England bertanggungjawab untuk memiliki kelakuan yang baik sepanjang masa. Kami akan menilai semula polisi kami ketika masa rehat ketika menjalankan tugasan antarabangsa.

Selepas aksi persahabatan menentang Sepanyol, Southgate bertegas mengatakan Rooney tidak akan dipinggirkan gara-gara masalah disipilin.

“Wayne cedera dalam perlawanan menentang Scotland Jumaat lalu. Dia tidak dapat datang berlatih pada Ahad. Itu saja,” kata Southgate. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA