Rooney mungkin tidak sertai Euro 2016 – Hodgson

Rooney mungkin tidak sertai Euro 2016 – Hodgson

LONDON, 18 Mac (AFP) – England mungkin beraksi pada kempen Euro 2016 tanpa kelibat Wayne Rooney dalam kesebelasan utama, biarpun dia berjaya kembali cergas sepenuhnya sebelum kejohanan itu bermula, kata pengurus skuad, The Three Lions, Roy Hodgson.

Rooney yang juga kapten England dan pemegang rekod gol pasukan ketika ini, mengalami kecederaan lutut dan tidak disenaraikan dalam skuad 24 pemain bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Jerman dan Belanda, bulan ini.

Daniel Sturridge dan Danny Welbeck yang masing-masing sudah pulih daripada kecederaan menyertai Harry Kane, Jamie Vardy dan Theo Walcot dalam senarai skuad kali ini bagi memperkuatkan jentera serangan.

Dengan persaingan yang sengit bagi merebut tempat sebagai penyerang utama, Hodgson menegaskan Rooney perlu membuktikan dia berbaloi untuk berada dalam kesebelasan utama.

“Saya tidak pernah katakan dia adalah pemain automatik untuk kesebelasan utama. Saya tidak pernah menyebut sesiapapun.

“Adakah dia mempunyai peluang cerah berdasarkan rekod cemerlangnya sebelum ini, kemampuan dan pengalamannya? Sudah pasti dia ada peluang tetapi ia tidak bermakna dia akan bermula dalam kesebelasan utama.

“Dia mungkin tidak pulih sepenuhnya untuk menunjukkan kemampuan sebenar atau kami mungkin perlu menggunakan pemain berbeza atau bermain dengan corak permainan berbeza.

“Dia adalah kapten kami, dia memainkan peranan yang penting bagi tugas itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kami memerlukan pengaruh dan kemampuannya di atas padang.