Rooney risau selepas tidak diturunkan

Rooney risau selepas tidak diturunkan

MANCHESTER, 28 Dis – Tindakan pengurus, Louis van Gaal menggugurkan Wayne Rooney daripada kesebelasan utama pada perlawanan terbesar Manchester United, semalam, meninggalkan prospek kurang senang buat penyerang England itu mengenai kedudukannya pada kempen Euro 2016.

Pada saat United amat memerlukan kemenangan, Van Gaal meninggalkan kaptennya itu di bangku simpanan dalam perlawanan menentang Stoke City sebelum melihat tindakannya itu memakan diri.

Rooney dimasukkan pada awal babak kedua, namun keadaan ketika itu sudah pun dianggap parah dengan The Red Devils sudah pun ketinggalan 2-0 dengan tiada sebarang jaringan berjaya dijelmakan selepas itu.

Berdepan saingan penyerang muda England lain seperti Harry Kane, Jamie Vardy dan Daniel Sturridge yang dianggap menyinar ketika ini, sudah pasti Rooney yang hanya meledak satu gol daripada 10 perlawanan merasa bimbang.

Van Gaal ketika ditemui memberi alasan: “Sentiasa sukar untuk menggugurkan kapten dan dia akan berinteraksi secara profesional seperti selalunya.

Rooney hanya dimainkan pada babak separuh masa kedua pada perlawanan menentang Stoke City baru-baru ini. – Reuters
Rooney hanya dimainkan pada babak separuh masa kedua pada perlawanan menentang Stoke City baru-baru ini. – Reuters

“Kami sentiasa mempunyai pelan permainan dan membandingkan pemain ketika sesi latihan. Namun ia bukanlah alasan kami tewas perlawanan hari ini (Semalam), ia adalah kerana tekanan yang pemain sedang rasai.

“Mereka tidak berani bermain bola sepak.” – Agensi