Rooney samai rekod Charlton

Rooney samai rekod Charlton

SERRAVALLE, San Marino, 6 Sept (AFP) – Wayne Rooney menyamai rekod jaringan Bobby Charlton selama 45 tahun, apabila mencatat gol ke-49 peribadinya di peringkat antarabangsa pada saingan kelayakan Euro 2016 di sini, semalam.

Kapten England itu, menjaringkan gol berkenaan pada minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang juga jaringan pendahuluan pasukannya dalam kemenangan besar 6-0 ke atas tuan rumah.

Jaringan pemain berusia 29 tahun itu yang juga penyerang Manchester United, memberikan dia identiti rekod antarabangsa Charlton, ahli pasukan England yang memenangi Piala Dunia pada 1960, dengan jaringan ke-49 menerusi 106 penampilan.

Dia kini memerlukan satu lagi gol untuk menjadi pemain pertama England mencatat jumlah jaringan sebanyak 50 atau separuh abad.

“Ia adalah saat membanggakan dapat menyamai rekod Sir Bobby Charlton,” kata Rooney menerusi ITV Sport di Stadio Olimpico, di sini.

Rooney mengawal bola sambil disaingi oleh Davide Simoncini dari San Marino dalam aksi kelayakan Euro 2016 di stadium Serravalle San Marino semalam. - AFP
Rooney mengawal bola sambil disaingi oleh Davide Simoncini dari San Marino dalam aksi kelayakan Euro 2016 di stadium Serravalle San Marino semalam. – AFP

“Sasaran saya selepas ini adalah untuk mencuba sebaiknya bagi membantu pasukan memenangi perlawanan dan sekali gus memecahkan rekod berkenaan.”

Dengan ini, England menjadi pasukan pertama layak ke pusingan akhir Euro 2016 di Perancis, selepas membelasah San Marino, 6-0 di sini, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Wayne Rooney memulakan kenduri gol ke atas pasukan tuan rumah selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-13, sebelum jaringan sendiri oleh Cristian Brolli 17 minit kemudian untuk kedudukan 2-0 di separuh masa pertama.

Ledakan Roos Barkley seminit selepas permainan disambung semula, diikuti dua jaringan Theo Walcott (m-68, m-78) serta Harry Kane pada minit ke-77, mengesahkan kedudukan England mengungguli Kumpulan E.

Pasukan bimbingan Roy Hodgson memenangi semua tujuh perlawanan kelayakan mereka setakat ini dalam saingan Kumpulan E dan sudah pasti layak secara automatik.

ARTIKEL YANG SAMA