Rooney: Saya belum cukup bagus

Rooney: Saya belum cukup bagus

MANCHESTER, 20 Ogos – Kapten Manchester United, Wayne Rooney mengakui prestasinya ketika ini belum mencapai tahap diinginkan namun yakin gol yang diburu akan muncul tidak lama lagi.

Rooney menjadi pilihan utama pengendali United, Louis van Gaal bagi menjana jentera serangan Red Devils selepas kehilangan Robin van Persie dan Radamel Falcao dengan menggunakan formasi 4-2-3-1.

Begitupun, selepas tiga perlawanan United, penyerang England itu masih gagal meledakkan sebarang gol yang membawa persoalan sama ada dia mampu menggalas tanggungjawab itu.

Kata Rooney, dia menerima kritikan terhadap prestasinya itu dengan terbuka dan meletakkan sasaran untuk melakukan perubahan ketika United bertemu Newcastle pada pertembungan Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini.

“Saya mengharungi perlawanan yang buruk musim ini dan semua orang mengakuinya,” kata Rooney kepada selepas kemenangan 3-1 United ke atas Club Brugge pada aksi play-off Liga Juara-Juara di laman sendiri, semalam.’

“Saya tahu, saya menghadapinya sepanjang karier saya namun berharap pada minggu ini saya dapat memberikan tanda.

“Saya lelaki yang jujur. Saya tahu bila saya tidak bermain dengan baik dan menentang Aston Villa (United menang 1-0), saya bermain di bawah kemampuan sebenar saya. Saya mengetahuinya.

“Ia masih di awal musim. Tiga perlawanan sudah berlalu dan sudah tiba masanya saya melangkah ke depan. Saya pernah mengalaminya sebelum ini dan gol itu akan datang, saya mengetahuinya.”

Rooney yang akan memasuki usia 30 tahun, Oktober ini tidak diletakkan sebagai penyerang utama United sejak 2011 namun situasi itu diakui tidak mengganggu prestasinya.

“Fikiran saya jelas. Saya tahu peranan saya. Ia hanyalah berkaitan mendapat peluang dan mengambilnya. Saya berharap ia akan datang dalam masa terdekat.”

Rakan sepasukannya, Memphis Depay mencuri perhatian ketika United menewaskan Club Brugge dengan meledak gol sebelum Marouane Fellaini melengkapkan jumlah jaringan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA