Rooney sudah tua

Rooney sudah tua

LONDON, 2 Sept (Agensi) – Gary Neville menggesa Manchester United segera menyelesaikan masalah penyerang dan penjaga gol, sebelum pasaran perpindahan musim panas ditutup hari ini.

Menurut bekas tonggak pertahanan United itu, kekalahan 1-2 kepada Swansea City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, kelmarin mendedahkan kepincangan The Red Devils dan mereka harus menyelesaikannya segera.

Dalam perlawanan di Stadium Liberty itu, Juan Mata membolehkan United bermula baik apabila membuka jaringan pada minit ke-48.

Begitupun, Andre Ayew merosakkan malam kegembiraan mereka dengan menyamakan kedudukan menerusi tandukan, 13 minit kemudian sebelum Bafetimbi Gomis meledak gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-66.

Nevilla menjangkakan, tiada tindakan drastik akan diambil pihak atasan di Old Trafford, namun dia menegaskan, kekalahan itu membuktikan United mempunyai masalah serius di bahagian serangan, selain penjaga gol.

Wayne Rooney tidak mampu lagi beraksi sebagai penyerang solo kerana sudah agak berusia. – Reuters
Wayne Rooney tidak mampu lagi beraksi sebagai penyerang solo kerana sudah agak berusia. – Reuters

Sehingga kini, kedudukan penjaga gol utama mereka, David de Gea masih tidak menentu selepas pemain tersebut dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.

“Mereka tidak akan bangun dan berfikir ‘Oh, kami baru tewas perlawanan, kami perlu panik dan mendatangani empat pemain’.

“Mereka mungkin sentiasa terfikir hendak membawa masuk pemain baharu, tetapi mereka hanya memasang hasrat dan tidak melakukan tindakan serius. Melihat permainan mereka setakat ini, nyata United memerlukan pemain baharu,” kata Neville kepada Sky Sports.

Bekas tonggak pertahanan Liverpool yang turut menjadi pengulas sukan Sky Sports, Jamie Carragher percaya, United perlu membeli penyerang muda sebelum pasaran perpindahan ditutup.

Pada ketika penyerang Mexico, Javier Hernandez hampir pasti akan menyertai kelab Jerman, Bayer Leverkusen, Louis van Gaal tidak mempunyai banyak pilihan untuk diletakkan di bahagian serangan.

Katanya, ketua pasukan, Wayne Rooney, 30, tidak mampu beraksi sebagai penyerang solo, apatah lagi pemain itu sudah agak berusia.

“Suka atau tidak, Manchester United kena membawa masuk penyerang baharu sebelum tarikh tutup perpindahan. Mereka memerlukan penyerang yang sekurang-kurangnya setanding (Danny) Welbeck (dari segi usia).

“Mereka tidak sesuai mencari penyerang berprofil tinggi tetapi sudah berusia seperti (Radamel) Falcao, Rooney dan (Robin) Van Persie. Mereka perlukan pemain yang berusia 23 atau 24 tahun.

“Satu-satunya pilihan yang dimiliki United sekarang adalah meletakkan (Marouane) Fellaini sebagai penyerang tengah jika Rooney keluar. Dia bertindak sebagai pemain tengah di Everton, jadi ini bukan posisi yang sesuai buatnya,” kata Carragher.

ARTIKEL YANG SAMA