Rooney tekad akhiri kemarau gol

Rooney tekad akhiri kemarau gol

MANCHESTER, England, 11 Sept (AFP) – Wayne Rooney berhasrat menamatkan kemarau gol dalam Liga Perdana Inggeris apabila Manchester United melayan kunjungan Liverpool ke Old Trafford, Ahad ini.

Rooney muncul penjaring gol terbanyak England dalam sejarah dengan 50 gol apabila dia menyempurnakan sepakan penalti ketika menang 2-0 ke atas Switzerland awal pagi kelmarin namun gagal menyumbat gol buat kelabnya dalam 10 perlawanan terakhir.

“Saya amat gembira dan bersyukur, tapi saya kembali ke Manchester, kembali berlatih dan mula fokus terhadap Liverpool. Harapnya meraih dua gol dalam dua perlawanan terakhir bermakna saya boleh terus meledak gol,” kata Rooney.

“Tiada perlawanan yang lebih bagus berbanding Liverpool di laman sendiri selepas kalah perlawanan terakhir kami (1-2 di tangan Swansea City). Perlawanan ini harus kami menangi dan saya tidak sabar menantinya,” jelas bekas penyerang Everton itu.

Wayne Rooney. – Reuters
Wayne Rooney. – Reuters

“Untuk meraih apa yang saya lakukan (muncul penjaring terbanyak England), tipulah jika saya katakan saya tidak dibuai kejayaan itu tapi ia juga membuatkan saya lebih ghairah untuk terus menyumbat gol,” kata Rooney, yang turut menjaringkan gol ketika membenam San Marino 6-0 sekali gus membantu England memastikan tempat ke pusingan akhir Euro 2016 di Perancis.

Sementara itu, Ander Herrera berkata, pemain tengah United perlu mula menyumbang gol bagi mengurangkan tekanan buat Rooney dan pemain baru Anthony Martial.

Red Devils bergelut mencari gol pada awal musim dan hanya mengumpul tiga gol dalam empat perlawanan liga setakat ini, termasuk gol sendiri Kyle Walker ketika menang 1-0 ke atas Tottenham Hotspur pada perlawanan pembukaan musim.

“Kami tidak mahu membebankan Wayne atau Anthony Martial. Kami perlu membantu. Amat penting sebagai pemain tengah menjaringkan gol. Kami mesti membantu mereka,” jelas midfield Sepanyol itu.

“Wayne amat penting buat kami. Selalunya dia akan menjaringkan gol tapi apabila dia tidak menyumbat gol, dia akan membantu dan sering berjuang untuk pasukan.”