Rooney tonggak serangan United

Rooney tonggak serangan United

LONDON, 23 Julai – Manchester United mempersiapkan diri memulakan aksi musim baru dengan hanya Wayne Rooney sebagai penyerang senior berwibawa.

Louis van Gaal membuat keputusan menjual Robin van Persie kepada Fenerbahce dan tidak mengikat Radamel Falcao sebagai pemain tetap selepas dipinjam dari AS Monaco musim lalu.

Ini bermakna pengurus United itu hanya mempunyai Rooney, penyerang muda James Wilson yang belum terbukti kemampuannya dan Javier Hernandez yang dipinjamkan ke Real Madrid musim lalu.

United sebelum ini dikaitkan dengan beberapa penyerang termasuk Robert Lewandowski (Bayern Munich), Harry Kane (Tottenham Hotspur) dan Edinson Cavani (Paris St Germain).

Bagaimanapun, difahamkan United tidak berminat mendapatkan penyerang baru sebelum pasaran perpindahan ditutup 2 September ini.

Rooney (10) bersaing dengan Goodson (21) dari San Jose Earthquakes dalam kejohanan Piala Juara-Juara Antarabangsa di Stadium Avaya San Jose, California kelmarin. – AFP
Rooney (10) bersaing dengan Goodson (21) dari San Jose Earthquakes dalam kejohanan Piala Juara-Juara Antarabangsa di Stadium Avaya San Jose, California kelmarin. – AFP

Rooney beberapa kali beraksi di bahagian tengah musim lalu, namun Van Gaal mahu menggunakan ketua pasukannya itu sebagai penyerang tengah dalam formasi 4-3-3 musim ini.

Pemain berusia 29 tahun itu diletakkan sebagai penyerang tunggal pada perlawanan pramusim menentang Club America di Seattle dan dia dijangka akan kekal di posisi itu musim ini.

Biarpun jika Rooney cedera sebelum jendela perpindahan ditutup, sumber kelab itu menegaskan Van Gaal tidak akan berusaha mencari penyerang baru.

Van Gaal dilihat yakin mengenai jumlah jaringan yang akan dilakukan pasukannya.

Pengurus United itu kagum dengan teknik rembatan dan sepakan percuma Memphis Depay, jadi beliau percaya pemain sayap bernilai 25 juta pound itu mampu mengulangi prestasi sama apabila menjaringkan 22 gol untuk PSV Eindhoven musim lalu.

Depay mempamerkan aksi meyakinkan ketika bergandingan dengan Rooney apabila mereka menang 1-0 ke atas Club America di CenturyLink Field. – Agensi