Rosakkan padang, penjaga gol Augsburg dikenakan caj

Rosakkan padang, penjaga gol Augsburg dikenakan caj

BERLIN, 9 Dis – Penjaga gol Augsburg Marwin Hitz, yang mensabotaj padang Cologne sebelum menyelamatkan tendangan penalti yang membantu pasukannya menang Sabtu lalu, telah diminta membayar ganti rugi kerana merosakan padang berkenaan.

Pasukan Augsburg dari Bavaria menang 1-0 dalam aksi Bundesliga selepas penyerang Cologne Anthony Modeste tergelincir semasa mengambil sepakan penalti pada minit ke-58.

Beberapa ketika sebelum sepakan itu, Hitz menggunakan gigi kasutnya merosakkan rumput padang di sekitar titik sepakan penalti – dilihat sepenuhnya oleh pengadil Daniel Siebert – menyebabkan Modeste tergelincir pada tempat yang sama ketika cuba menyempurnakan sepakan.

Pemain Augsburg Raul Bobadilla kemudian meledak dengan sepakan percuma pada minit ke-64 untuk menjaringkan gol kemenangan bagi membolehkan pasukan Bavaria itu meraih tiga mata dari Cologne.

Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) berkata, mereka tidak akan menghukum Hitz walaupun melakukan tindakan bukan kesukanan.

Augsburg Marwin Hitz
Augsburg Marwin Hitz

Tetapi syarikat penyelenggara padang Cologne, Rhein Energie Stadion, telah menghantar bill sebanyak 122.92 euro (AS$133.33) untuk memperbaiki padang tersebut.

“Ia bukan soal wang kerana hukuman yang sedikit tidak menyakitkan. Jika Marwin Hitz membayar bill itu, kami akan mendermakan wang tersebut kepada hospital kanak-kanak di Cologne,” kata jurucakap syarikat.

Syarikat penyelia itu mendakwa mereka telah membaik pulih tompok yang rosak sebesar satu meter persegi bersama beberapa pekerja dan mengambil masa dua jam untuk menyiapkannya. – AFP