Rosberg anggap Ferrari ancaman

Rosberg anggap Ferrari ancaman

LONDON, 22 Feb (Reuters) – Biarpun Mercedes mendominasi perlumbaan Formula Satu (F1) musim lalu, namun pemandunya, Nico Rosberg tetap menganggap Ferrari sebagai ancaman utama menjelang kempen baharu kali ini yang akan bermula bulan depan.

“Kami memandang serius kekuatan pasukan-pasukan lain terutama Ferrari kerana saya yakin mereka mampu memberikan tentangan sengit kepada kami.

“Disebabkan itu, kami perlu bergerak lebih maju ke hadapan. Tiada siapa tahu apa yang akan terjadi pada perlumbaan pertama nanti,” katanya.

Mercedes dikatakan tidak rela kehilangan podium juara kepada Ferrari sewaktu perlumbaan pembuka tirai musim 2016 pada Grand Prix (GP) Australia di Melbourne, 20 Mac depan.

Dalam perkembangan lain, pemandu kelahiran Jerman itu menegaskan, perseteruannya dengan rakan sepasukan, Lewis Hamilton tidak sesekali menjejaskan objektif utama Mercedes.

Hamilton (kiri), Nico Rosberg (kanan) dan Pengarah Eksekutif pasukan Toto Wolff bersama kereta hibrid Mercedes F1 W07 yang baru sebelum sesi ujian pertama menjelang musim yang akan datang di Litar Catalunya, Barcelona. – AFP
Hamilton (kiri), Nico Rosberg (kanan) dan Pengarah Eksekutif pasukan Toto Wolff bersama kereta hibrid Mercedes F1 W07 yang baru sebelum sesi ujian pertama menjelang musim yang akan datang di Litar Catalunya, Barcelona. – AFP

Rosberg, 30, sanggup ‘berdamai’ dengan Hamilton selepas mereka mula bekerja bersama-sama demi kemajuan Mercedes pada musim ini.

“Saya selesa dan saya gembira menjadi sebahagian daripada Mercedes. Kami meraih banyak kejayaan dan saya yakin lebih banyak kejuaraan mampu dimenangi kelak.

“Setiap tahun merupakan cabaran baharu termasuk musim ini. Saya akui tidak sabar untuk bersaing semula dengan Hamilton yang memang merupakan pemandu terbaik dunia buat masa ini.

“Ia antara sebab saya melibatkan diri dalam bidang sukan. Jadi, ia merupakan satu perkara yang bagus,” jelas Rosberg.

Dalam perkembangan lain, Alexander Rossi masih menaruh harapan tinggi untuk berlumba dalam F1 biarpun diketepikan oleh pasukan Manor Racing pada musim ini.

Rossi, 24, ternyata kecewa selepas Manor Racing tidak berminat untuk menggunakan khidmatnya musim ini selepas dia gagal mempamerkan prestasi cemerlang untuk memikat pasukan tersebut.

Bagaimanapun, pemandu Amerika Syarikat itu menegaskan, keputusan tersebut bukan pengakhiran dalam kariernya.

ARTIKEL YANG SAMA