Rosberg juarai GP Itali

Rosberg juarai GP Itali

MONZA, Itali, 4 Sept – Nico Rosberg muncul pemenang Grand Prix (GP) Itali sebentar tadi, sekali gus merapatkan jurang kejohanan dunia kepada hanya dua mata di belakang rakan sepasukan Mercedes Lewis Hamilton.

Pelumba Jerman berusia 31 tahun itu mula berada di depan, apabila Hamilton yang memulakan perlumbaan pada petak pertama menerima padah apabila tidak begitu mantap memulakan perlumbaan, juara dunia Britain itu jatuh ke kedudukan keenam pada selekoh pertama sebelum bekerja keras kembali ke posisi kedua.

Hamilton, kini mendahului pungutan mata kejohanan dengan 250 mata di depan Rosberg dengan 248 mata.

Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel pula di tempat ketiga di depan rakan sepasukannya Kimi Raikkonen.

Ia merupakan kemenangan GP Itali Rosberg pertama, kemenangan ketujuh musim ini dan ke-21 dalam kerjayanya, meningkatkan daya saing rebutan kejohanan dengan hanya tinggal tujuh perlumbaan sahaja.

Nico Rosberg ketika menjulang trofi kemenangan GP Itali. – AFP
Nico Rosberg ketika menjulang trofi kemenangan GP Itali. – AFP

“Terima kasih banyak-banyak semua,” ujar Rosberg. “Ia begitu hebat untuk memenangi Itali.”

Ia juga merupakan podium ke-50 dalam kerjaya Rosberg dan menghalang Hamilton untuk melengkapkan hatrik kemenangan Itali, untuk menyamai pencapaian yang hanya dilakukan oleh Juan Manuel Fangio pada 1950.

Ia merupakan kali pertama dalam tujuh tahun perlumbaan itu tidak dimenangi oleh pemandu yang memulakan perlumbaan pada petak pertama.

Daniel Riccardo menamatkan perlumbaan di tempat kelima buat Red Bull di depan Valtteri Bottas dari Williams, remaja Belanda Max Verstappen pula berada di tempat ketujuh dalam jentera kedua Red Bull. – AFP