Rosberg mahu tampil kuat musim depan

Rosberg mahu tampil kuat musim depan

ABU DHABI, 3 Dis (AFP) – Kemenangan Nico Rosberg dalam perlumbaan penutup musim di Abu Dhabi mungkin tidak akan menjadikannya sebagai pelumba pilihan untuk mengatasi rakan sepasukannya dalam pasukan Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton, tetapi memberi amaran supaya juara dunia tiga kali itu berwaspada untuk musim 2016.

Selepas meraih tiga kemenangan berturut-turut, pelumba dari Jerman berusia 30 tahun itu telah membina semula keyakinannya sendiri, juga pasukan terhadapnya manakala Hamilton, yang memenangi gelaran juara dunia kedua berturut-turut bersama Mercedes sebulan yang lalu, dilihat bergelut untuk mendapatkan motivasi dalam usaha menyekat kemaraan Rosberg pada penghujung musim.

Bagaimanapun, ketika Formula Satu berehat pada musim sejuk dan membuat penyusunan semula, sukan itu sendiri yang kini berdepan cabaran paling besar tahun depan apabila beberapa pasukan bergelut dengan kos tinggi, ketidaktentuan bilangan penyertaan dan masa depan yang tidak jelas.

Kecaman juara dunia dua kali Fernando Alonso selepas perlumbaan di Abu Dhabi berhubung ketidakselarasan – dan ketidakberkesanan – badan pentadbir sukan itu, Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA), adalah kesimpulannya mengenai musim ini dan pandangan ramai pihak selepas tahun yang menyaksikan pasukannya McLaren-Honda mengalami kegagalan dan kekecewaan.

“Inilah masalahnya dengan FIA. Kita nampak yang separuh daripada tempat duduk di grandstand kosong di litar ini, dan juga di litar-litar lain… Dan ada kejohanan lain yang telah memintas kita (dari segi populariti) seperti WEC (Kejohanan Lasak Dunia), MotoGP… Dan kemudian kita cuba untuk menjadikan bunyi kereta lebih kuat! Saya rasa kita memerlukan sedikit idea bernas,” kata Alonso.

Bergelut dengan masalah kewangan, politik dan teknikal, musim ini berakhir pada Ahad lalu dengan hanya sedikit tanda-tanda bahawa masa depan lebih cerah boleh dicapai. Pada awal minggu ini, bekas Presiden FIA Max Mosley memberitahu BBC bahawa F1 berada dalam masalah serius, dan tiada siapa yang mahu membeli perniagaan itu kerana telah menjadi terlalu mahal.

“Hanya dua atau tiga pasukan yang benar-benar mampu berbelanja (besar) seperti sekarang. Yang lain berada pada kedudukan seperti di ambang untuk menarik diri atau sekurang-kurangnya tidak bernasib baik kerana tidak mempunyai cukup wang. Saya tidak nampak bagaimana ada orang boleh menjualnya (pasukan mereka) sehinggalah masalah tersebut telah diselesaikan.