Rosberg raih petak pertama GP Azerbaijan

Rosberg raih petak pertama GP Azerbaijan

BAKU, 19 Jun (AFP) – Nico Rosberg meraih petak depan Grand Prix Azerbaijan de-ngan rakan sepasukan Mercedes Lewis Hamilton sekadar petak ke-10 selepas melanggar pengadang jalan pada sesi kelayakan di litar jalanan Baku, semalam.

Hamilton muncul terpantas dalam ketiga-tiga sesi latihan bebas tetapi juara dunia itu melalui sesi kelayakan tiga yang tidak menyebelahinya apabila terbabas melanggar penghadang di selekoh 10.

Rosberg mengambil kesempatan atas nasib malang Hamilton itu.

Peneraju kejuaraan dari Jerman itu memecut laju untuk mencatat kepantasan satu minit 42.758 pada sesi kelayakan yang terpaksa ditangguh selama dua minit selepas bendera merah dinaikkan bagi membolehkan marsyal membersihkan litar.

“Saya tidak tahu apa kemungkinan untuk esok,” kata Hamilton. “Ia kerosakan yang buruk. Pasukan ada menukar sesuatu semalaman, tetapi saya tidak tahu mengapa tiba-tiba saya hilang kawalan.”

Apabila aksi kelayakan itu bersambung, Sergio Perez merakam masa kedua terpantas buat Force India, tetapi pelumba Mexico itu akan memulakan perlumbaan di petak ketujuh selepas dikenakan penalti lima grid kerana menukar kotak gear.

Ini bermakna Daniel Ricciardo ketiga terpantas untuk Red Bull, akan memulakan perlumbaan esok di sebelah Rosberg di grid depan.

Dua pelumba Ferrari Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen keempat dan kelima terpantas di depan Felipe Massa dari Williams, diikuti Daniil Kvyat dari Toro Rosso dan Valtteri Bottas (Williams).

Pelumba muda sensasi Belanda Max Verstappen kesembilan terpantas di depan Hamilton.

ARTIKEL YANG SAMA