Rosberg rangkul petak pertama GP Belgium

Rosberg rangkul petak pertama GP Belgium

SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium, 28 Ogos – Pemandu Mercedes, Nico Rosberg kembali meningkatkan peluang untuk mengungguli tangga teratas kejuaraan dunia Formula Satu (F1) apabila merangkul petak pertama Grand Prix Belgium, di sini.

Pelumba pasukan Mercedes AMG PETRONAS itu tampak mempergunakan sepenuhnya ketiadaan rakan sepasukannya, Lewis Hamilton yang bakal berdepan hukuman penalti berganda sekali gus melengkapkan petak pertama kelima buatnya musim ini.

“Kami berjaya melakukan kerja dengan baik,” kata Rosberg, pesaing kedua di belakang Hamilton dalam kedudukan Formula Satu. “Saya gembira untuk berada di petak pertama. Keadaan tayar akan menjadi sukar, berkemungkinan banyak perkara akan berlaku.”

Ia adalah petak utama ke-28 sepanjang karier pelumba kelahiran Jerman itu dengan kemenangan akan memberinya peluang untuk merapatkan jurang atau mengatasi kelebihan 19 mata yang dimiliki Hamilton ketika ini.

Nico Rosberg meraikan kemenangan beliau apabila berjaya merangkul petak pertama dalam Grand Prix Belgium di litar Spa-Francorchamps. – AFP
Nico Rosberg meraikan kemenangan beliau apabila berjaya merangkul petak pertama dalam Grand Prix Belgium di litar Spa-Francorchamps. – AFP

Pelumba remaja sensasi Belanda yang dianggap wira tuan rumah, Max Verstappen mencatat masa kedua terpantas di litar Spa-Francorchamps sekali gus muncul pelumba termuda dalam sejarah F1 memulakan perlumbaan di barisan hadapan.

Pelumba berusia 18 tahun dari pasukan Red Bull itu mengatasi pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen yang terpaksa berpuas hati memulakan perlumbaan di petak ketiga.

Seorang lagi pelumba Ferrari, Sebastian Vettel mencatat masa keempat terpantas diikuti rakan sepasukan Verstappen, Daniel Ricciardo.

Sergio Perez mencatat masa keenam terpantas di depan rakan sepasukannya di Force India, Nico Hulkenberg diikuti pelumba Williams, Valtteri Bottas Jenson Button (McLaren-Honda) dan Felipe Massa (Williams). – AP

ARTIKEL YANG SAMA