Rosberg tawan GP Singapura

Rosberg tawan GP Singapura

SINGAPURA, 18 Sept – Pemandu Mercedes, Nico Rosberg memperoleh kemenangan pertamanya di litar Grand Prix (GP) Singapura sekali gus menyamai pencapaian rakan sepasukannya, Lewis Hamilton yang pernah menawan Litar Marina Bay itu pada 2014.

Kejayaan Rosberg di perlumbaan waktu malam itu turut membolehkan dirinya mengambil alih kedudukan pendahulu yang sebelum ini dikuasai Hamilton dengan himpunan 273 mata.

Hamilton pula turun ke kedudukan kedua dengan jumlah 265 mata keseluruhan, hanya dibezakan lapan mata daripada rakan sepasukannya itu.

Rosberg dari Jerman menamatkan perlumbaan dengan catatan 1 jam 55 minit 48.950 saat (s) manakala Daniel Ricciardo dari pasukan Red Bull Racing Tag Heuer di tempat kedua, ketinggalan 0.488s.

Nico Rosberg kini berada di kedudukan pertama setelah memenangi perlumbaan itu. – AFP
Nico Rosberg kini berada di kedudukan pertama setelah memenangi perlumbaan itu. – AFP

Hamilton pula berada di tangga ketiga, ketinggalan 8.038s di belakang Rosberg manakala pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen keempat.

Pemenang di Litar Marina Bay musim lalu yang juga rakan sepasukan Raikkonen, Sebastian Vettel pula menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima.

“Saya menikmati minggu yang baik di sini, Daniel cuba memberi saingan namun perlumbaan hari ini sangat menggembirakan kami,” kata Rosberg. – AFP