Rosberg tekad bantu Mercedes jadi juara

Rosberg tekad bantu Mercedes jadi juara

SEPANG, 29 Sept – Pemandu Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg, mahu memastikan pasukannya meraih kejuaraan pengeluar untuk kali ketiga berturut-turut dengan memenangi Grand Prix Formula Satu Malaysia, minggu ini.

Rosberg, pelumba Jerman yang muncul juara di tiga perlumbaan terakhir di Belgium, Itali dan Singapura itu, kini menyasarkan satu lagi kemenangan di laman sendiri rakan kerjasama teknikal pasukan itu, PETRONAS di Litar Antarabangsa Sepang.

Bagi saingan pengeluar, Mercedes mampu meraih kejuaraan di Sepang dengan memastikan mendapat lebih lapan mata daripada pencabar terdekat, Red Bull Racing atau 23 mata daripada pasukan tempat ketiga, Ferrari.

Mercedes kini mendahului dengan 538 mata diikuti Red Bull Racing (316) dan Ferrari (301).

“Ia adalah satu lagi tahun yang menakjubkan. Setiap kali kami memikirkan ia tidak akan mampu dilakukan, tidak boleh berulang dan menjadi lebih baik daripada sebelum ini, kami berjaya melakukannya.

Rosberg memeriksa jenteranya sebelum perlumbaan GP Malaysia hujung minggu ini. – AFP
Rosberg memeriksa jenteranya sebelum perlumbaan GP Malaysia hujung minggu ini. – AFP

“Tahun ini pula kami berpeluang memastikan kejuaraan pengeluar seawal ini, sesuatu yang luar biasa dan semua pihak terbabit telah melakukan tugas yang sukar dipercayai…ia sangat menarik,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Rosberg berkata, beliau tidak perlu terbawa-bawa dengan aksi terakhirnya di GP Singapura, sebaliknya hanya memberi tumpuan untuk meraih satu lagi gelaran di Sepang hujung minggu ini.

“Saya tidak perlu memikirkan lagi aksi di Singapura, ia adalah keputusan yang hebat dan saya sangat gembira dengannya. Tapi ia sudah berlalu.

“Kini saya di Sepang dan sudah bersedia untuk berlumba. Sudah tentu saya percaya mempunyai peluang untuk menang di sini dan mahu melakukannya,” katanya.

Rosberg kini mendahului senarai pelumba dengan 273 mata, di depan rakan sepasukan, Lewis Hamilton, yang mengumpul 265 mata. – Bernama