Rosberg terpantas ujian masa

Rosberg terpantas ujian masa

SPIELBERG, Austria, 19 Jun (AFP) – Nico Rosberg mengatasi rakan sepasukannya dari Mercedes, Lewis Hamilton untuk merekod masa terpantas sesi ujian masa pertama Formula Satu (F1) Grand Prix Austria, di sini, petang tadi.

Pemandu kelahiran Jerman berusia 29 tahun yang muncul juara Litar Red Bull Ring tahun lalu itu mencatat masa terpantas 1 minit 10.401 saat.

Begitupun, penyandang juara dunia, Hamilton tidak jauh ketinggalan apabila menamatkan sesi ujian di kedudukan kedua terpantas dengan 0.308 saat.

Kedua-dua pemandu Mercedes itu mengharungi sesi kelayakan tanpa sebarang masalah sambil melakukan ujian terhadap daya tarikan dan enjin jentera masing-masing.

Pelumba Finland, Kimi Raikkonen yang memandu Ferrari mencatat masa ketiga terpantas di depan rakan senegaranya, Valtteri Bottas dari Williams, manakala pelumba Brazil, Felipe Nasr bersama Sauber, kelima.

Pemandu Mercedes AMG Petronas F1, Nico Rosberg memandu keluar dari lorong pit semasa sesi pertama ujian mada di Red Bull Ring di Spielberg, Austria, petang tadi. – AFP
Pemandu Mercedes AMG Petronas F1, Nico Rosberg memandu keluar dari lorong pit semasa sesi pertama ujian mada di Red Bull Ring di Spielberg, Austria, petang tadi. – AFP

Pelumba Red Bull dari Russia, Daniil Kvyat keenam, diikuti rakan sepasukannya dari Australia, Daniel Ricciardo dengan kedua-duanya menggunakan enjin baharu musim ini.

Ia menjadi enjin kelima buat pasukan Red Bull yang menggunakan enjin Renault sekali gus bermakna mereka terpaksa berdepan hukuman penalti 10 kedudukan ketika perlumbaan.

Pelumba Belanda, Max Verstappen melakukan masa kelapan terpantas bersama jentera Toro Rosso di depan pelumba Brazil, Felipe Massa (Williams) dengan pelumba Mexico, Sergio Perez (Force India) melengkapkan kedudukan 10 terpantas. Bekas pelumba Ferrari, Massa sebelum itu hampir terbabit kemalangan di hentian pit yang membabitkan Ketua Pasukan Ferrari, Maurizio Arrivabene yang mahu melintas jalan.

ARTIKEL YANG SAMA