Rossi enggan kempunan

Rossi enggan kempunan

PHILIP ISLAND, Australia, 16 OKT (Agensi) – Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo menyemarakkan semula pertarungan mereka merebut kejuaraan dunia MotoGP di litar Phillip Island, Australia hujung minggu ini dipisahkan dengan hanya 18 mata dan berbaki tiga perlumbaan.

Rossi, 36, juara dunia tujuh kali dalam kelas perdana, memburu kejuaraan dunia pertamanya sejak 2009.

Penunggang hebat Itali itu mempunyai keserasian dengan litar Phillip Island yang mana dia berakhir di podium 15 daripada 18 kunjungannya bagi semua tiga kelas GP.

Rossi menang kejuaraan pertama di Australia sejak 2005 tahun lalu apabila dia mengatasi Lorenzo dengan lebih 10 saat selepas juara dunia Marc Marquez terjatuh daripada jenteranya ketika mendahului selesa.

“Lapan belas mata satu kelebihan yang baik, tapi ia juga boleh menjadi kelebihan kecil. Kami ada baki tiga perlumbaan dan litar ini amat saya sukai dan banyak memori hebat tapi seperti biasa pelumba amat kuat dan Jorge sangat pantas di sini dan esok kami akan memulakan satu lagi pertarungan,” kata Rossi.

Valentino Rossi ketika bersedia untuk memulakan sesi latihan pertama menjelang Grand Prix MotoGP Australia di Phillip Island pada 16 Okctober 2015. – AFP
Valentino Rossi ketika bersedia untuk memulakan sesi latihan pertama menjelang Grand Prix MotoGP Australia di Phillip Island pada 16 Okctober 2015. – AFP

Hanya Rossi dan rakan sepasukan Movistar Yamaha dari Sepanyol, Lorenzo boleh memenangi kejuaraan tahun ini selepas Marquez patah tangan kirinya bulan lalu meninggalkannya 86 mata di belakang Rossi dengan hanya 75 mata maksimum menjadi pertaruhan.

Ketika juara dunia sembilan kali Rossi memiliki rekod menakjubkan di Australia, Lorenzo meraih empat podium dalam enam perlumbaan terakhir di Phillip Island, termasuk kemenangan pada 2013.

“Kini hanya tinggal tiga perlumbaan bagi merebut kejuaraan dan kami mesti menang lebih banyak perlumbaan jika mahu mengejar mata dan mengintai peluang di Valencia (perlumbaan terakhir) untuk muncul juara dunia,” kata Lorenzo.

Rossi semakin hampir menyamai rekod rakan senegara dari Itali, Loris Capirossi dengan penyertaan terbanyak GP iaitu 328 hujung minggu ini, namun dia sudah mengatasi Capirossi dengan lebih 50 penyertaan dalam kelas perdana.

ARTIKEL YANG SAMA