Rossi harap tuah ‘laman sendiri’

Rossi harap tuah ‘laman sendiri’

SAN MARINO, 11 Sept (AFP) – Pendahulu kejuaraan Valentino Rossi (gambar) dan rakan sepasukan Yamaha, Jorge Lorenzo akan beraksi di satu daripada litar paling berjaya buat mereka di San Marino Ahad ini, perlumbaan MotoGP ke-13 daripada 18 keseluruhan pada 2015.

Rossi, yang berakhir di podium dalam setiap perlumbaan musim ini dan bijak menguasai keadaan basah sebelum menang pada GP Britain baru-baru ini, menginap hanya 20 minit dari Litar Dunia Misano Marco Simoncelli dan sering meraih kejayaan dalam apa yang disifatkannya sebagai perlumbaan ‘di laman sendiri’.

Penunggang Itali berusia 36 tahun itu, yang akan membawa kelebihan 12 mata di depan Lorenzo ketika juara dunia dua kali dari Honda, Marc Marquez merudum 77 mata di belakang ‘Doctor’ dan terdesak untuk merangkul kemenangan keempatnya pada kempen kali ini selepas tidak menamatkan perlumbaan di Silverstone.

Juara dunia tujuh kali Rossi menang perlumbaan menarik tahun lalu di litar yang dinamakan semula bagi memperingati mendiang Marco Simoncelli dan turut berada di podium pada 2008 dan 2009.

Lorenzo yang bergelut untuk menduduki tangga keempat di Britain, turut meminati litar Misano sejauh 4.3 kilometer itu dan berakhir dalam kelompok tiga teratas setiap tahun sejak perlumbaan itu diperkenalkan pada 2007.

Pelumba Sepanyol itu menang tiga kali (2011, 2012 dan 2013) selain empat penamat tempat kedua ketika dia cuba memberi tekanan kepada Rossi yang menunggang jentera bernombor 46.

Rossi mengakui dia tidak sabar untuk beraksi namun sedar harapan pasti terlalu tinggi di depan ribuan penyokongnya.

“Kami kini tiba di Misano dan saya agak tertekan terutama daripada penyokong, rakan dan keluarga yang datang, tapi saya amat sukakan litar ini,” kata Rossi.

“Suasana amat hebat di Misano dan ia benar-benar perlumbaan laman sendiri buat saya kerana litar ini hanya 10km dari Tavullia, rumah saya.”

ARTIKEL YANG SAMA