Rosyam Nor ajak masyarakat membaca Al-Quran

SHAH ALAM – Pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Rosyam Nor, menyifatkan pelantikannya sebagai duta program World #QuranHour sebagai bonus mendekatkan diri dengan masyarakat.

Teruja dengan tugasan itu, Rosyam tidak sabar melaksanakan tanggungjawab kepada agama dan umat Islam melalui kempen berkenaan.

“Banyak banyak dosa yang saya buat sampai terfikir nasib selepas kehidupan ini.

“Daripada susah kepada senang, hinggalah menjadi ‘Rosyam Nor’, apa bekalan saya untuk ke alam sana?

“Sekurang-kurangnya dengan menjadi duta World #QuranHour, ia akan membantu saya nanti, Insya-Allah,” katanya pada sidang media kempen World #QuranHour.

Rosyam Nor dilantik sebagai duta program World #QuranHour yang bertanggungjawab mengajak umat Islam membaca al-Quran
Rosyam Nor dilantik sebagai duta program World #QuranHour yang bertanggungjawab mengajak umat Islam membaca al-Quran

Rosyam yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-50, Mac lalu, berkata sebagai selebriti, dia bertanggungjawab mengajak umat Islam membaca al-Quran dan menjadikan kitab suci itu sebagai pegangan hidup.

Bintang Castello itu meminta umat Islam membuang rasa malu untuk belajar mengaji walaupun sudah berusia.

“Saya hanya pandai mengaji pada usia 45 tahun. Selama ini saya fikir, semua benda saya boleh lakukan tetapi mengapa tidak mengaji.

“Saya banyak tipu Allah. Apabila pergi ke majlis tahlil, saya datang dengan segak. Duduk dengan jemaah lain tapi mula-mula saja saya baca, yang lain mulut terkumat-kamit.

“Alhamdulillah, kini saya sudah mampu mengaji dengan baik,” katanya.

Mengenai kariernya, Rosyam kini dalam misi mahu mengangkat pelakon berusia memegang watak utama atau hero dalam filem.

“Lihat di negara luar, watak utama atau hero dipegang pelakon berusia. Itu yang kita mahu,” katanya yang menimbang beberapa tawaran filem dari produksi India.