Roti paratha pikat etnik Amerika

Roti paratha pikat etnik Amerika

NEW YORK, 3 Julai (Bernama) – Kelembutan dan kerangupan roti paratha yang dibawa dari Malaysia kian memenuhi selera pencinta makanan etnik di negara ini

Malah, pasar raya yang menjual produk etnik India dan Asia Selatan di Amerika Syarikat, kini mula menyimpan stok roti paratha yang dieksport dari pengeluarnya yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Makanan ini turut mendapat tempat di New York Fancy Food Show (NYFFS) 2015 yang baru berakhir di mana pesta tiga hari itu berjaya menarik ribuan pengunjung serta pedagang.

Ironinya, roti paratha itu tiada dalam senarai produk peserta di Pavillion Malaysia ketika ramai pengunjung berbangsa India membanjiri pesta tersebut.

Sebaliknya, ia ditampilkan oleh pengimport Amerika Syarikat berbangsa India, Kamal N. Sharma, yang mengimport roti paratha itu terus daripada pembekalnya – Kawan Foods di Kuala Lumpur.

Menurut Sharma, roti paratha Malaysia agak unik kerana lembut seakan kapas dan rasanya begitu rangup apabila dipanaskan, sesuatu yang berbeza dengan pelbagai jenis paratha yang dikeluarkan di India serta Amerika Syarikat sendiri.

Sharma, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengimport ISIFOL di New Hyde Park, New Jersey, berkata beliau adalah pengimport dan pemasar eksklusif bagi produk makanan di bawah jenama Aman yang dikeluarkan Kawan Foods.

Roti paratha Malaysia bukan sahaja diminati penduduk berbangsa India yang merupakan antara pengguna terbesar di Amerika Syarikat.

ARTIKEL YANG SAMA