Rouhani jemput firma AS untuk melabur

Rouhani jemput firma AS untuk melabur

DUBAI, 3 Feb – Iran tidak mempunyai masalah dengan syarikat AS yang melabur dalam ekonominya dan menubuhkan usaha sama, kata Presiden Hassan Rouhani semalam, dan beliau meminta pelaburan asing dan pempelbagaian dilakukan bukan dalam sektor minyak.

Presiden berkata pembatalan sekatan pada bulan lalu di bawah satu perjanjian nuklear dengan kuasa dunia akan melihat pelaburan asing menukar Iran kepada pengeksport barangan pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan ekonomi pada eksport minyak.

Namun beliau juga mengecam badan pemeriksaan yang tidak memasukkan kebanyakan sekutu sederhananya daripada bertanding dalam dua pilihan raya penting di Republik Islam itu pada akhir bulan ini, sekaligus menimbulkan prospek ketidakstabilan politik yang akan mencetuskan kebimbangan kepada bakal pelabur.

Beberapa firma multinasional utama telah bergegas untuk memantapkan satu kedudukan di Iran tatkala ia dibuka semula untuk perniagaan selepas pembatalan sekatan yang telah mengasingkan ekonominya, sebagai tukaran kepada kawalan ke atas program nuklearnya.

Namun, banyak kontrak masih belum dimuktamadkan, dan beberapa syarikat bimbang mengenai pelbagai risiko perniagaan dalam pasaran Iran. Syarikat AS terutamanya telah terjejas disebabkan sekatan AS berasingan yang masih berkuatkuasa.

“Jika syarikat AS rela datang dan melabur di Iran, untuk membawa pengeluaran ke Iran, kami tidak mempunyai masalah dengannya,” kata Rouhani dalam temu bual yang disiarkan secara langsung di TV negeri.

Beliau berkata ekonomi Iran akan berubah mendadak, mengelak mengimport barangan yang dibayar dengan penjualan minyak dan menumpu pada pembangunan industri menerusi usaha sama dengan firma asing, dengan tujuan mengeksport barangan yang dihasilkan termasuk kereta. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA