Royal Insignia bersungkai bersama anak yatim

Royal Insignia bersungkai bersama anak yatim

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Julai – Seramai 39 anak yatim yang berumur antara 1 hingga 10 tahun yang tinggal di sekitar Jerudong menerima sumbangan derma daripada Royal Insignia di Majlis Bersungkai yang diadakan di Empire Hotel and Country Club, hari ini.

Sumbangan derma disampaikan oleh Pengurus Pembangunan Produk Royal Insignia, Rachel Hoe di kedai Royal Insignia, hotel berkenaan.

Rachel Hoe ketika ditemui menjelaskan, majlis bersungkai dan penyampaian derma kepada anak-anak yatim yang berdaftar di Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) ini merupakan yang julung kalinya diadakan sejak tiga tahun Royal Insignia diperkenalkan di negara ini.

Beliau seterusnya menambah, sumbangan derma berupa wang dan baucar itu diharap dapat membantu meringankan beban dan menambah kegembiraan anak-anak yatim dalam menyambut kedatangan Hari Raya nanti.

Anak-anak yatim bergambar ramai bersama Rachel Hoe dan kakitangan Royal Insignia di majlis itu.
Anak-anak yatim bergambar ramai bersama Rachel Hoe dan kakitangan Royal Insignia di majlis itu.
Rachel Hoe menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim.
Rachel Hoe menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim.

“Di samping itu, ia juga dapat digunakan untuk membeli barang persekolahan dan menampung perbelanjaan harian mereka,” jelasnya.

Beliau juga berharap aktiviti seumpama ini akan diteruskan lagi di masa akan datang dengan konsep berkunjung ke rumah anak-anak yatim untuk melihat lebih dekat lagi kehidupan mereka.

Anak-anak yatim yang menerima sumbangan mereka turut diberikan cenderahati untuk menambah kegembiraan mereka di majlis itu.