Royal Skies perkenal Award Shopper

Royal Skies perkenal Award Shopper

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jun – Program Frequent Flyer Penerbangan Diraja Brunei (RB) iaitu Royal Skies telah memperkenalkan Award Shopper, di mana ahli-ahlinya boleh menebus tiket-tiket menggunakan jarak perjalanan udara secara online di www.flyroyalbrunei.com.

Dengan ciri produk dalam talian yang dipertingkatkan itu, ahli-ahli Royal Skies akan dapat menjimatkan masa dan membeli tiket-tiket ganjaran percutian secara online dengan mudah, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RB, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand dipetik sebagai berkata, “RB sangat berterima kasih atas kesetiaan dan sokongan ahli-ahli Royal Skies kami, dan kami sentiasa mencari cara baru dan lebih baik untuk memperbaiki program Royal Skies kami.

“Kami benar-benar berharap ahli-ahli kami akan menyukai kemudahan baru yang kami perkenalkan ini,” tambah beliau.

Kemudahan dalam talian Royal Skies yang diperbaiki ini merupakan sebahagian daripada proses penjenamaan semula yang telah bermula pada September 2014 dengan pengenalan logo baru, reka bentuk kad dan ciri-ciri produk Royal Skies yang diperbaiki, dan pada April 2015, apabila RB melancarkan Pusat Khidmat Pelanggan dan Elite Lounge terbarunya di RB Plaza di ibu negara,

Pada Jun 2015, perkhidmatan penebusan tiket segera dilaksanakan di Pusat Khidmat Pelanggan dan Elite Lounge berkenaan bagi semua ahli Royal Skies yang datang sendiri. Selain itu, baru-baru ini, RB membenarkan penumpang dari semua kelas tempahan (kecuali berkumpulan) mendapatkan jarak perjalanan udara yang kini boleh ditebus secara online.

Bagi maklumat lanjut mengenainya, ahli-ahli bolehlah melayari dalam sesawang www.flyroyalbrunei.com.

ARTIKEL YANG SAMA