RPK ABDB juara keseluruhan sukan air ABDB

RPK ABDB juara keseluruhan sukan air ABDB

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Rejimen Pasukan Khas (RPK) ABDB muncul juara keseluruhan di Kejohanan Renang Peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Kejohanan Polo Air Peringkat ABDB, bertempat di Kolam Renang Tentera Udara Diraja Brunei, Rimba, di sini.

Sementara itu, naib juara bagi kedua-dua kejohanan ialah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), manakala tempat ketiga bagi Kejohanan Renang dan Polo Air dimenangi oleh Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).

Hadir menyampaikan hadiah-hadiah kepada juara dan para pemenang ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan para peserta kejohanan berkenaan.

Sepanjang kejohanan berkenaan, kejohanan renang mempertandingkan 10 kategori iaitu 400m Gaya Bebas, 100m Kuak Dada, 100m Gaya Bebas, 200m Kuak Dada, 200m Gaya Bebas, 50m Kuak Kupu-Kupu, 50m Kuak Dada, 4x50m Medley, 4×100 Gaya Bebas dan 50m Gaya Bebas.

Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih ketika menyampaikan pingat kepada salah satu pasukan yang menyertai.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih ketika menyampaikan pingat kepada salah satu pasukan yang menyertai.

Acara akhir kejohanan berkenaan diakhiri dengan acara renang 50m perseorangan di mana Lans Koperal Zulazmi bin Buah dari RPK muncul juara, sementara Petty Officer Haji Mohd Irwan bin Haji Tarip dari Tentera Laut Diraja Brunei memenangi tempat kedua dan Lans Koperal Yunos bin Haji Hamid dari Kementerian Pertahanan di tempat ketiga.

Pada kejohanan itu, Pasukan RPK, merebut sebanyak sembilan pingat emas dan satu perak, pasukan TDDB merebut sebanyak satu pingat emas, tiga perak dan empat gangsa, TLDB merebut sebanyak empat pingat perak dan dua gangsa, manakala Pasukan TUDB dua gangsa dan satu perak, Kementerian Pertahanan satu gangsa dan satu perak dan Institut Latihan memenangi hanya satu pingat gangsa.

ARTIKEL YANG SAMA