RTB kemas kini struktur

RTB kemas kini struktur

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Radio Televisyen Brunei (RTB) sedang dalam usaha mengemas kini strukturnya yang dihasratkan untuk menguatkan tenaga kerjanya supaya benar-benar menjadi tenaga profesional yang berkelayakan, berkebolehan, menepati tanggungjawab dan menghayati aspirasi kerajaan.

“Hasrat kita juga ialah untuk mengentalkan kemajuan budaya kerja dan kepimpinan di semua peringkat organisasi dalam RTB,” jelas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Abdul Wahab bin Juned.

“Justeru itu RTB juga melihat kepada pengemaskinian dan pengkategorian semula pelbagai jenis tugasan dan tanggungjawab dalam bidang operasi, teknikal, perisian penyiaran, pemasaran, kajian dan pembangunan,” tambahnya lagi ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil Kursus Latihan Penyiar Berita: Cabaran dan Masa Hadapan, yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Beliau berkata, tujuan pengemaskinian itu adalah untuk menjadikan RTB lebih fokus, dapat mengelakkan pertindihan tugas, meningkatkan kerjasama di antara sektor, mengamalkan budaya kerja yang lebih terbuka, berpasukan dan inovatif dan penuh beretika di bawah Konsep Negara Melayu Islam Beraja (MIB).

“Setentunya budaya kerja dan kepimpinan yang kita hasratkan ini berteraskan nilai-nilai murni yang boleh mengentalkan kesepaduan organisasi, imej dan matlamatnya.

Dato Paduka Haji Abdul Wahab menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.
Dato Paduka Haji Abdul Wahab menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.

“Salah satu nilai penting di bawah kesepaduan, imej dan matlamat ialah kebolehpercayaan dari segi keahlian dalam profesion dan integriti. Sebagai matlamat, kesemua ini adalah bersifat organisasi dan jangka panjang.”

Beliau berkata bahawa keboleh-percayaan bukanlah sesuatu yang boleh disogokkan serta-merta tetapi dibina oleh organisasi secara kolektif supaya dapat dihargai dalam tempoh yang panjang.

Dalam membina kebolehpercayaan itu, terasnya ialah ilmu, amalan berintegriti dan kebertanggungjawaban, tekan beliau.

“Landasan ke arah ini adalah panjang dan adalah natural dalam perjalanan sejauh ini kita menghadapi rintangan dan pelbagai masalah.”

Ulas Dato Paduka Haji Abdul Wahab, “Pendekatan kita ialah memfokuskan kepada kemajuan jangka panjang dan tidak menjadikan rintangan dan masalah biasa yang perlu dihadapi sebagai sukat-sukat mutlak untuk merubah haluan.

“Jika ini terjadi, kita mudah akan tersasar daripada matlamat murni jangka panjang dan boleh menjadi faktor melemahkan kepada usaha kita. Justeru itu, kepimpinan organisasi adalah pasak utama untuk kuat dan istiqamah dan kepercayaan perlu diberikan sepenuhnya kepada kepimpinan untuk membangun organisasi media penyiaran ini untuk kepentingan jangka panjang kerajaan dan bukan sebaliknya.”

Oleh itu, Dato Paduka Haji Abdul Wahab menyeru semua pihak yang berkenaan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan media penyiaran, berusaha secara objektif untuk menguatkan keupayaan dan kepimpinannya, memahami sepenuhnya cabaran-cabaran yang ada, menyediakan pendekatan dan dasar-dasar yang kondusif untuk kemajuan jangka panjang yang berdaya tahan dan bukan sebaliknya mengamalkan pendekatan ad hoc serta melulu bagi kepentingan jangka pendek sahaja.

“Kesemua ini boleh kita buat secara lebih berorganisasi, berperancangan dan melaksanakan perancangan kita dengan lebih beristiqamah.”

ARTIKEL YANG SAMA