RTB, Mediacorp jalin kerjasama penyiaran

RTB, Mediacorp jalin kerjasama penyiaran

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Feb – Radio Televisyen Brunei (RTB) menjadi hos bagi Program MoU (Radio) bersama dengan Stesen Radio Warna 94.2 fm dan Radio Ria 89.7 fm, Mediacorp, Republik Singapura bagi 2016 di mana ia merupakan projek tahunan bagi kedua-dua stesen dalam usaha untuk mengeratkan dan meningkatkan lagi kerjasama dalam bidang penyiaran.

Pada masa yang sama, kerjasama dalam bidang kejuruteraan teknikal juga dipertingkatkan dalam usaha kedua-dua stesen berkenaan bergerak seiring dengan kemodenan dalam bidang kejuruteraan penyiaran.

Sehubungan dengan itu, seramai lapan orang penyiar yang diketuai oleh Pengarah Rancangan Warna 94.2 fm, Morniyati Tukimin menyertai rombongan dari Singapura.

Semasa berada di Brunei, rombongan itu mengadakan mesyuarat penyelarasan, rakaman rancangan pertukaran rancangan Bahasa dan Masakan.

Rakaman rancangan terbitan bersama kedua buah stesen yang diadakan di Radio Televisyen Brunei, Bandar Seri Begawan.
Rakaman rancangan terbitan bersama kedua buah stesen yang diadakan di Radio Televisyen Brunei, Bandar Seri Begawan.

Di antara rancangan terbitan secara usaha sama yang dilaksanakan di antara RTB dan Mediacorp adalah Program Berbalas Pantun yang membawa dua tema iaitu sempena Hari Raya Aidilfitri dan Bulan Bahasa.

Selain itu, dua siri Melodrama sempena Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha serta Pelangi Ria Muzik Mash turut tersenarai dalam program penerbitan.

Di samping membuat rancangan terbitan bersama, rombongan berkenaan juga dibawa untuk membuat lawatan ke tempat-tempat menarik di sekitar Negara Brunei Darussalam. Melalui Program MoU itu, diharap ia dapat mengukuhkan lagi jalinan kerjasama di antara kedua-dua stesen serta sebagai pernyataan perjanjian yang telah dimeterai sejak 26 tahun yang lalu.

ARTIKEL YANG SAMA