RTB sediakan 51 program sempena Hari Raya

RTB sediakan 51 program sempena Hari Raya

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN – Dalam usaha untuk memberikan hiburan dan kegembiraan di sepanjang bulan Syawal tahun ini, Radio Televisyen Brunei (RTB) berusaha dengan mengambil langkah menyusun sebanyak 51 program dari pelbagai bahagian rancangan Hari Raya untuk ditonton oleh orang ramai.

Program tersebut terdiri dari bahagian hiburan, rancangan kanak-kanak, drama, kemasyarakatan dan ceramah yang mana program yang di sediakan bagi mengisi slot rancangan televisyen untuk Hari Raya tahun ini adalah semakin meningkat berbanding pada tahun sebelumnya.

Perkara ini turut dijelaskan oleh Ketua Rancangan-Rancangan TV, Hajah Zalinar binti Haji Abdullah pada sidang media hari ini mengenai rancangan yang akan di tayangkan menerusi TV dan Radio sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa drama yang akan di tayangkan melalui saluran televisyen adalah bukan sahaja terdiri dari drama tempatan bahkan turut menayangkan drama MoU di antara RTB dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurutnya lagi, pada tahun ini lebih banyak drama yang akan di tayangkan iaitu sebanyak enam buah drama adalah termasuk kerjasama di antara MOU RTB dan RTM selain drama kanak-kanak yang merupakan kerjasama di antara MOU Malaysia dan Singapura.

Ketua Rancangan TV, Pemangku Penolong Ketua Rancangan TV dan Radio ketika menghadiri sidang media.
Ketua Rancangan TV, Pemangku Penolong Ketua Rancangan TV dan Radio ketika menghadiri sidang media.

Selain itu, rancangan Xpedisi Siswa yang berunsur pendidikan telah dirakam di Brunei dan Singapura pada bulan Jun 2015 yang lepas juga akan di tayangkan pada Hari Raya nanti.

Program yang ditayangkan di saluran televisyen ini akan di tayangkan selama seminggu mengikut program yang telah disusun berdasarkan jadual yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Rancangan-Rancangan Radio, Haji Hasnan bin Haji Suhaili pada sidang media itu menjelaskan bahawa program yang disediakan pada Hari Raya nanti untuk Perkhidmatan Radio yang mempunyai lima rangkaian akan menerbitkan lebih 100 buah rancangan yang menepati konsep rangkaian masing-masing.

Antara rancangan yang diterbitkan adalah berbentuk hiburan, drama di samping rancangan yang berbentuk interaktif bersama dengan pendengar seperti rancangan kuiz.

Pada tahun ini, perkhidmatan radio juga menyediakan rancangan yang memberi peluang kepada DJ di semua rangkaian kecuali NurIslam, untuk menghiburkan pendengar menerusi rancangan Dendang Juruhebah atau Suara Pelangi dan juga rancangan Sing Along seperti yang diterbitkan di rangkaian Pilihan, Harmoni dan Nasional.

Sidang media yang berlangsung di RTB Sungai Akar itu turut dihadiri oleh Pemangku Penolong Ketua Rancangan-Rancangan TV (Seksyen Penerbitan TV), Haji Hasnan bin Haji Mohammad dan Pemangku Penolong Ketua Rancangan-Rancangan TV (Unit Perancangan dan Siaran TV), Pengiran Amiruddin bin Pengiran Haji Mohammad.

Rancangan berkenaan akan disiarkan menerusi saluran televisyen RTB1, RTB2, RTB3, RTB4 dan RTB5 serta stesen radio melalui rangkaian Nasional, Pilihan, Pelangi, Harmoni dan NurIslam bermula pada malam Hari Raya nanti.

Orang ramai yang berhajat untuk mengetahui mengenai program rancangan televisyen yang akan disiarkan pada Hari Raya nanti, boleh melayari www.rtb.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA