RTB teruskan Jalinan Kasih

RTB teruskan Jalinan Kasih

Oleh Hajah Saemah Kepli & Ampuan Irma Susanti

 

KUALA BELAIT, 3 Julai – Projek Jalinan Kasih RTB anjuran Perkhidmatan Radio diteruskan lagi kelmarin dengan tumpuan di Daerah Belait, di mana rombongan projek itu mengunjungi kediaman beberapa penerima sumbangan.

Rombongan mengagihkan sumbangan berupa makanan asasi dan sedikit bantuan kewangan itu disertai sama oleh Ketua Rancangan Radio RTB, Pengiran Ahmad bin Pengiran Haji Mahmud.

Perjalanan dimulakan dengan mengunjungi Dayang Zaiton binti Taha di Kampung Terunan Labi, diikuti dengan Dayang Rosni binti Abdullah dan Dayang Nisa binti Ramlee di Lot 4589 Simpang 366 Kampung Bakong Lumut.

Seterusnya, rombongan beredar di kediaman Dayang Elis Uci Sanusi di kawasan RPN Kampung Pandan A dan Dayang Emmielia Kartiena binti Ahmad Zaini di Barek 624 B6 Simpang 84-58-20 Jalan Singa Menteri Kampung Mumong Belait.

Pengagihan bantuan itu juga telah disalurkan kepada mangsa bencana kebakaran rumah, Haji Rosman bin Haji Awang Damit di Barek 760 Jalan Dermawangsa di sini.

Wakil Kelab Radio Kuala Belait, Awang Jurizaimie Jarili menyampaikan sumbangan kepada Haji Rosman.
Wakil Kelab Radio Kuala Belait, Awang Jurizaimie Jarili menyampaikan sumbangan kepada Haji Rosman.
Penerima sempat beramah mesra dengan rombongan Projek Jalinan Kasih RTB di KB.
Penerima sempat beramah mesra dengan rombongan Projek Jalinan Kasih RTB di KB.

Projek ini antara lain bertujuan untuk mendekatkan serta untuk berkongsi kegembiraan dengan orang-orang yang kurang bernasib baik terutama dalam suasana bulan Ramadan dan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri ini nanti.

Ia turut melibatkan penyertaan pegawai-pegawai dan kakitangan Radio Televisyen Brunei, dermawan dan syarikat-syarikat swasta, di samping kalangan ahli-ahli Kelab Radio Kuala Belait yang baru ditubuhkan Februari lalu.

Ahli-ahli kelab tersebut telah membuat inisiatif dengan turut menghulurkan sumbangan bagi menambah ceriakan lagi suasana perlaksanaan projek yang berkebajikan itu.

Kunjungan ke lokasi pertama Projek Jalinan Kasih RTB di Kampung Terunan Labi Ulu Belait.
Kunjungan ke lokasi pertama Projek Jalinan Kasih RTB di Kampung Terunan Labi Ulu Belait.
Awang Mohammad bin Haji Tahir dari Kampung Sungai Tanit menyatakan perasaan syukur dan terima kasih atas sumbangan yang diberikan. – Gambar Ampuan Irma Susanti
Awang Mohammad bin Haji Tahir dari Kampung Sungai Tanit menyatakan perasaan syukur dan terima kasih atas sumbangan yang diberikan. – Gambar Ampuan Irma Susanti

Dalam pada itu, Projek Jalinan Kasih RTB bagi Daerah Temburong telah diadakan pada 1 Julai yang lalu dengan kunjungan ke lima buah keluarga yang terpilih di Kampung Sungai Tanit, Kampung Rataie, Kampung Paya Bagangan dan Kampung Belais.

Mengetuai rombongan ke daerah berkenaan ialah Pengiran Ahmad, yang antara lain memberitahu, projek itu diadakan dalam usaha untuk memasyarakatkan warga radio ke arah mendukung hasrat kerajaan untuk mewujudkan budaya hidup bermasyarakat yang penyayang serta prihatin terhadap masyarakat yang memerlukan bantuan.

Turut menyertai rombongan itu ialah Pengurus Stesen RTB Daerah Temburong, Awang Zainudin bin Haji Ahmad Zaini, kakitangan stesen serta pegawai kanan dan warga perkhidmatan Radio, Bandar Seri Begawan.

ARTIKEL YANG SAMA