RTB tuan rumah Program Budaya Tiga Serumpun

RTB tuan rumah Program Budaya Tiga Serumpun

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Izah Azahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Perkhidmatan Radio di Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB) kini menjadi tuan rumah bagi Program Budaya Tiga Serumpun yang telah diadakan sejak termeterainya memorandum persefahaman (MoU) pada tahun 2006.

Bagi menandakan permulaan program yang melibatkan RTB, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Radio Republik Indonesia (RRI) itu, satu mesyuarat telah diadakan di Dewan Iltizam, RTB di ibu negara, hari ini, bagi menyelaraskan penerbitan rancangan ke arah penambahbaikan dari segi konsep dan kandungan rancangan.

Mesyuarat telah dihadiri oleh Pembangku Ketua Perkhidmatan Radio RTB, Pengiran Ahmad bin Pengiran Haji Mahmud; Haji Ayub Syed Haji Mohamad selaku ketua delegasi RTM; dan Lira Rossin selaku ketua delegasi RRI, serta para perwakilan dari RTB, RTM dan RRI.

Menerusi MoU tersebut, beberapa rancangan telah diterbitkan bersama oleh stesen-stesen berkenaan, di samping bertukar kunjungan yang telah dapat diisikan dengan pelbagai kegiatan menjurus kepada perkongsian sosiobudaya, kesenian dan kebudayaan dan penempatan bertugas para penyiar stesen-stesen berkenaan.

Delegasi RTB, RTM dan RRI semasa mengadakan mesyuarat.
Delegasi RTB, RTM dan RRI semasa mengadakan mesyuarat.

Untuk program kali ini, dua rancangan Berbalas Pantun akan diterbitkan, masing-masing bertemakan Aidilfitri dan Kemasyarakatan.

Rakaman diadakan di Dewan Kemasyarakatan Taman Mini Perayaan Kampung Parit, Mukim Pengkalan Batu, ketika Aktiviti Bedudun anjuran RTB.

Penerbitan Berbalas Berpantun tersebut adalah sebagai usaha untuk melestarikan seni budaya yang diwarisi oleh masyarakat Melayu di Nusantara ini, di samping dapat memberi gambaran kepada kita akan ketinggian dan kemurnian nilai pantun yang indah bahasa dan falsafahnya.

ARTIKEL YANG SAMA