Ruang tersembunyi dalam makam Tutankhamun

Ruang tersembunyi dalam makam Tutankhamun

KAHERAH, 17 Mac (AFP) – Pengimbasan radar ke atas makam Firaun Tutankhamun dalam nekropolis purba Luxor menunjukkan peluang ’90 peratus’ bagi dua bilik tersembunyi, kemungkinan mengandungi material organik, kata menteri barangan antik Mesir hari ini.

Para pakar telah melakukan pengimbasan ke atas makam itu untuk mencari apa yang ahli arkeologi Britain percayai mungkin tempat persemadian Ratu Nefertiti, isteri legenda yang cantik kepada ayah Tutankhamun yang mumianya tidak pernah ditemui.

Pengimbasan awal makam Tutankhamun mendedahkan ‘dua bilik tersembunyi di sebalik ruang pengebumian anak lelaki raja, kata Menteri Antikuiti, Mamduh al-Damati kepada para wartawan.

“Ya, kami telah menemui ruang kosong, namun tidak sepenuhnya kosong, termasuk beberapa material organik dan besi,” kata Damati dalam Bahasa Inggeris.

Apabila ditanya tentang berapa keyakinannya, jawabnya peluangnya adalah ’90 peratus’.

Mamdouh Eldamaty bercakap semasa sidang media tentang makam Firaun Tutankhamun dan Ratu Nefertiti di kementerian antikuiti di Kaherah, Mesir, pada 17 Mac. – Reuters
Mamdouh Eldamaty bercakap semasa sidang media tentang makam Firaun Tutankhamun dan Ratu Nefertiti di kementerian antikuiti di Kaherah, Mesir, pada 17 Mac. – Reuters
Keranda batu emas Raja Tutankhamun dalam ruang permakamannya di Lembah Raja-Raja, di Luxor, Mesir pada gambar fail 28 November 2015. – Reuters
Keranda batu emas Raja Tutankhamun dalam ruang permakamannya di Lembah Raja-Raja, di Luxor, Mesir pada gambar fail 28 November 2015. – Reuters

Satu kajian daripada ahli arkeologi Britain yang terkenal, Nicholas Reeves telah mengatakan makam Nefertiti boleh berada dalam ruang rahsia yang bercantum dengan makam Tutankhamun di Lembah Raja-Raja di Luxor di selatan Mesir.

Reeves, seorang profesor arkeologi di Universiti Arizona, percaya salah satu bilik makam Tutankhamun mungkin telah menyembunyikan tempat pengebumian Nefertiti.

Menurutnya, Tutankhamun, yang meninggal dunia tiba-tiba, telah dimakamkan di ruang bawah tanah yang barangkali bukan dikhaskan untuknya.

Kematiannya mungkin telah memaksa para paderi untuk membuka semula makam Nefertiti 10 tahun selepas kematiannya kerana makam sendiri milik firaun muda belum lagi dibina.

Damati mengatakan lagi, dua ruang tersembunyi terletak di belakang dinding utara dan barat di ruang pengebumian Tutankhamun.

“Maksudnya, kita mendapati dua penyambungan,” di sebalik ruang pengebumian Tutankhamun, katanya.

Apabila ditanya jika material organik itu mungkin mumia, kata Damati: “Saya tidak dapat katakan. Saya hanya boleh katakan kita telah menemui material organik di sini.”

Damati dan Reeves mempunyai pendapat berlainan tentang mumia siapa yang mereka jangka akan temui, dengan menteri sebelumnya mengatakan makam Tutankhamun mungkin mengandungi mumia Kiya, isteri Akhenaten.

Hari ini, dia mengatakan ujian radar baru akan dijalankan pada 31 Mac.

“Radar lain, yang lebih canggih, akan memeriksa dan mengukur dimensi dinding di sebaliknya dan ketebalan dinding tersebut,” kata Damati, menambah bahawa keputusan ujian baru itu akan diumumkan di Luxor pada 1 April.

Nefertiti memainkan peranan besar dalam politik dan keagamaan pada abad ke-14 Sebelum Masihi (BC).

ARTIKEL YANG SAMA