Ruellia Tweediana – bunga berbentuk serombong

SALAH satu spesies tumbuhan liar daripada keluarga tumbuhan Acanthaceae yang mempunyai bunga yang cantik ialah Ruellia tweediana yang turut ditemui tumbuh di Mexico.

Dengan itu, ia turut digelar sebagai Mexican Petunia kerana bunganya mirip dengan bunga Petunia. Pokoknya adalah mudah untuk ditanam dan dijaga tetapi hasilnya adalah sangat memuaskan.

Pokoknya boleh tumbuh mencapai sehingga ketinggian dua kaki dan boleh ditanam sebagai tanaman hiasan yang menarik kerana pameran bunganya yang cantik.

Bunganya berbentuk serombong mempunyai lima kelopak selapis berwarna ungu tua, namun ia hanya mampu untuk bertahan kembang selama satu atau dua hari sahaja.

Selepas itu, kelopak bunganya akan gugur dengan sendirinya ke tanah. Namun begitu pokok ini agak rajin berbunga lebat jika diberikan penjagaan seperti yang diperlukannya.

Ruellia Tweediana juga sesuai untuk ditanam di dalam pasu.
Ruellia Tweediana adalah tanaman daripada keluarga Acanthaceae yang mirip dengan Petunia.

Pembiakan dan penanaman

Ia adalah senang untuk di-biakkan dengan menggunakan anak pokok yang tumbuh di persekitaran pokok induknya. Untuk penanamannya ikuti kaedahnya seperti berikut.

Pertama, cabut anak pokok yang telah tumbuh sekurang-kurangnya telah mencapai ketinggian empat inci. Untuk pertumbuhan yang lebih baik dan cepat pastikan terdapat medium tanaman yang masih terlekat pada akarnya.

Tanam anak pokok dalam medium tanaman seperti tersebut di bawah sama ada dalam pasu atau di tanah.

Namun tumbuhan ini boleh dibiakkan dan ditanam menggunakan kaedah keratan batang pokoknya yang matang dan juga biji benih dari buahnya yang masak ranum.

Ia sesuai tumbuh dalam medium tanaman yang lembap sentiasa tetapi tidak menakung air. Medium tanaman untuk pokok berpasu iaitu dalam campuran 3:2:1 (tanah peroi: bahan organik: pasir sungai) adalah terbaiknya untuk tumbuh subur. Namun begitu ia juga boleh tumbuh dalam pelbagai keadaan tanah seperti tanah bakar atau campuran tanah yang subur.

Penjagaan

Siram tumbuhan ini sebanyak dua kali sehari pada waktu pagi dan petang. Jangan biarkan medium tanamannya kering kerana ia boleh melambatkan pertumbuhan pokok.

Ia perlu didedahkan kepada banyak cahaya walaupun cahaya matahari yang terik untuknya tumbuh subur dan berbunga lebat.

Baja organik seperti najis ayam adalah sangat sesuai untuk pertumbuhan pokok ini. Baja kimia juga sesuai digunakan asalkan mengikut arahan di pek baja yang digunakan.

Awas jika menggunakan baja biji kerana ia akan melecurkan bahagian pokok. Gunakan baja berwarna hijau untuk kesuburan pokok dan baja berwarna merah untuk pertumbuhan bunga yang banyak.

Idea pameran

Tumbuhan ini sering ditanam di tanah dalam skala yang luas untuk pameran bunganya yang menarik dan ia juga boleh ditanam dalam pasu besar untuk membentuk rumpun bagi pameran bunganya. – Agensi

SAHAM
TerdahuluPadah menipu enam kedai
SeterusnyaPengiring PM disasar