Ruji Ubi mulakan tugas Pegawai Kemajuan Sabah

Ruji Ubi mulakan tugas Pegawai Kemajuan Sabah

KOTA KINABALU, 28 Dis – Pegawai Kemajuan Negeri yang baharu, Ruji Ubi pagi kelmarin memulakan tugas rasminya di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Likas.

Ruji, 45, yang tiba pada pukul 7:40 pagi, disambut Timbalan Pegawai Kemajuan Negeri Sadim Abdul dan pegawai-pegawai kanan pejabat kemajuan negeri.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu kemudian diperkenalkan kepada kakitangan pejabat berkenaan sebelum memulakan tugasnya.

Ruji dilantik sebagai Pegawai Kemajuan Negeri berkuatkuasa 16 Dis lepas bagi menggantikan Datuk Matusin Sunsang yang bersara wajib awal bulan ini manakala Pengarah Imigresen Sabah Nor Alam Khan pula mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM.

Ruji berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya pada 1995 dan Ijazah Sarjana Pengajian Antarabangsa dari Universiti Queensland, Brisbane, Australia pada 2010.

Anak jati Sabah itu pernah berkhidmat di pelbagai kementerian dan jawatan terakhir beliau sebelum dilantik Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM ialah Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah (Dis 2010 hingga Ogos 2014). – Bernama