Rumah 100 tahun berdiri megah di KL Eco City

Rumah 100 tahun berdiri megah di KL Eco City

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Rumah warisan pengasas Kampung Abdullah Hukum yang berusia 100 tahun, kini berdiri megah di KL Eco City di sini.

Rumah tradisional Melayu bertangga batu, beranjung dan tidak berbilik itu sebelum ini berdepan risiko dirobohkan berikutan pembangunan semula kampung itu sebagai sebuah pusat komersial dan perumahan KL Eco City.

Rumah milik Allahyarham Abdullah Hukum atau nama sebenarnya Muhammad Rukun, kini siap dipasang semula di Tingkat 7, bangunan pakri KL Eco City yang turut menempatkan Masjid Jamek Abdullah Hukum. Abdullah Hukum merupakan antara perintis yang terlibat dalam pembangunan Kuala Lumpur pada tahun 1880-an dan beliau turut membuka kawasan Pudu-Bukit Bintang serta Sungai Putih yang kini dikenali sebagai Bangsar.

Beliau merupakan ketua masyarakat Kuala Lumpur yang dilantik oleh Sultan Selangor ke-4 Sultan Abdul Samad dengan diberi gelaran Tuk Dagang Dianjuk.

Projek penempatan semula kediaman Abdullah Hukum di KL Eco City itu tercapai melalui persetujuan bersama pihak pemaju SP Setia Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi memastikan rumah pusaka itu dikekalkan dan dijadikan ikon kawasan tersebut.

NOSTALGIA... Sebuah rumah kayu tradisional dibina berhampiran Masjid Jamek Abdullah Hukum yang masih dalam pembinaan merupakan mercu tanda kepada projek pembangunan KL Eco City yang asalnya merupakan sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Abdullah Hukum. – Bernama
NOSTALGIA… Sebuah rumah kayu tradisional dibina berhampiran Masjid Jamek Abdullah Hukum yang masih dalam pembinaan merupakan mercu tanda kepada projek pembangunan KL Eco City yang asalnya merupakan sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Abdullah Hukum. – Bernama

Kontraktor konservasi Shaari Mat Saod yang dipertanggungjawabkan untuk memulihara rumah pusaka itu berkata proses memindahkan rumah itu bermula pada Sept 2012 sebelum projek pembangunan KL Eco City.

Proses pemuliharaan dan pemindahan rumah itu melibatkan tiga fasa utama bermula dengan prosedur dokumentasi serta penandaan pada setiap kepingan kayu dan bahan binaan yang terdapat pada premis itu sebelum ditanggalkan dalam tempoh selama tiga bulan, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Shaari berkata kayu meranti merah yang digunakan dalam pembinaan rumah itu turut dibawa ke sebuah pusat konservasi di Melaka bagi merawat kerosakan pada kayu tersebut supaya memastikan kayu-kayu itu cukup kukuh untuk dipasang semula. “Selepas selesai proses rawatan pada penghujung 2012, kesemua kayu dan bahan binaan rumah disimpan di stor SP Setia Bhd di Rawang selama tiga tahun dua bulan dengan pemantauan rapi sementara menunggu pembinaan (bangunan parkir tujuh tingkat itu) siap sepenuhnya,” katanya. – Bernama