Rumah Dayang Atifah dibaik pulih

Rumah Dayang Atifah dibaik pulih

Oleh Yusrin Junaidi

TEMBURONG, 5 Jun – Seorang suri rumah di Kampung Temada, Temburong mendapat perhatian pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) melalui Jawatankuasa Kerja Projek Amal Memeduli Warga Emas dan Keluarga yang Memerlukan Bantuan (PAWEK) untuk membaik pulih rumah beliau.

Sumbangan perbelanjaan membaik pulih rumah Dayang Atifah binti Abdullah Bungga, 47, sebanyak $14,717.50 itu merupakan salah satu inisiatif pihak Yayasan bagi membantu mereka yang dalam kesusahan.

Hadir sama bergotong-royong dalam aktiviti amal ini bersama 20 orang sukarelawan Yayasan di Daerah Temburong ialah ahli Lembaga Pengarah Yayasan selaku Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; dan Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Turut hadir ialah  Ketua Kampung Lepong Baru, Awang Ambol Unak Bakit, penolong-penolong pengarah urusan Yayasan, pegawai dan kakitangan Yayasan.

Semasa kerja-kerja membaik pulih rumah dijalankan.
Semasa kerja-kerja membaik pulih rumah dijalankan.

Rumah yang didiami oleh Dayang Atifah yang merupakan penduduk tetap, bersama suaminya dan dua anak lelaki mereka, kira-kira 20 tahun itu dibina oleh suami beliau sendiri termasuk pembelian bahan-bahan binaan.

Suami beliau bekerja di kilang papan, Kampung Batang Mitus, Daerah Tutong dengan gaji sebanyak $550.

Rumah satu tingkat tidak bertiang itu pada mulanya tidak mempunyai bilik tidur akan tetapi mempunyai sebuah dapur dan sebuah bilik mandi. Bekalan elektrik dan air pula diperolehi daripada ibu Dayang Atifah dengan menyambung dari rumahnya yang cuma bersebelahan.

Dalam aktiviti amal itu, PAWEK memulakan kerja-kerja mengecat dinding di luar rumah serta membersihkan bahagian luar dan dalam luar rumah Dayang Atifah.

Untuk meringankan beban Dayang Atifah, Yayasan melalui PAWEK juga menyampaikan sumbangan berbentuk makanan asasi yang  keseluruhannya berjumlah $200.

 

ARTIKEL YANG SAMA