Rumah dijilat api, penghuni selamat

Rumah dijilat api, penghuni selamat

Oleh Ampuan Irma Susanti

TEMBURONG, 10 Feb – Sebuah keluarga seramai 10 orang hanya sempat menyelamatkan diri bersama seorang warga emas yang sakit sebelum rumah dua tingkat mereka hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Menengah, Bangar, di sini, kira-kira pukul 3 petang tadi.

Ketua rumah, Awang Bakir bin Haji Ghapar ketika ditemui menjelaskan kesemua ahli keluarga dalam keadaan selamat termasuk bapa mertua beliau yang sakit telah dibawa keluar dari pintu belakang.

Ketika kejadian, beliau dan ahli keluarga sedang berada dalam rumah apabila tiba-tiba dikejutkan dengan api yang sedang merebak dan segera keluar untuk menyelamatkan diri.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Rumah dua tingkat milik Awang Bakir musnah dijilat api.
Rumah dua tingkat milik Awang Bakir musnah dijilat api.
Penghuni rumah selamat, punca kebakaran masih lagi disiasat.
Penghuni rumah selamat, punca kebakaran masih lagi disiasat.

Penolong Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Operasi ‘G’ Bangar, ASFR Abdul Harith bin Samad menjelaskan, pihaknya mengejarkan empat buah jentera bomba dari Balai Bomba Bangar dan Rataie ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa meningkatkan kewaspadaan terutamanya pada musim kemarau ini.

Turut berada di tempat kejadian ialah Penghulu Mukim Bangar, Haji Abdul Rahman bin Merusin, ketua Kampung Menengah, para pegawai dari Jabatan Daerah Temburong, Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan Jabatan Pembangunan Masyarakat cawangan Daerah Temburong yang akan segera menghulurkan bantuan makanan asasi kepada mangsa kebakaran.

Untuk sementara waktu, kesemua mangsa akan ditempatkan di rumah saudara-mara mereka di Kampung Menengah.

ARTIKEL YANG SAMA