Rumah jiran jadi mangsa

Rumah jiran jadi mangsa

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151014_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Walaupun sudah dua kali melakukan kesalahan yang sama, seorang lelaki penduduk tetap berusia 42 tahun, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kerosakan.

Khairuddin bin Haji Jair berdepan pertuduhan merosakkan tingkap dan kipas pengalihan udara, yang dianggarkan bernilai $250, milik Hajah Norhayati binti Haji Ludin di Perpindahan Lambak Kanan pada 21 September 2015 sekitar jam 11:20 pagi.

Tertuduh didakwa di bawah seksyen 426 Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22 yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh yang tinggal bersebelahan dengan mangsa telah membaling bata ke arah tingkap rumah mangsa. Melihat tingkap rumah itu pecah, tertuduh membaling lebih banyak bata ke rumah mangsa sehingga terkena kipas pengalihan udara di bahagian dapur.

Mangsa yang terdengar bunyi kuat dari tingkap yang pecah telah merakam perbuatan tertuduh itu dan terus membuat laporan polis.

Tertuduh dilaporkan dalam keadaan sedih ketika berjalan-jalan di sekitar rumahnya sebelum mula membaling bata ke rumah jirannya.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman memerintahkan tertuduh ditahan reman di Penjara Jerudong sehingga sebutan hukuman pada 15 Oktober.

ARTIKEL YANG SAMA