Rumah kedai terbakar di Mukah

Rumah kedai terbakar di Mukah

MUKAH, 5 Julai – Sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Orang Kaya Medan Setia Raja yang menempatkan kedai runcit dan rumah burung walit rosak teruk dalam kebakaran di sini lewat petang semalam.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, kedai runcit milik Lee Chee Leong, 41, itu musnah 100 peratus manakala rumah burung walit pula mengalami kerosakan 20 peratus.

Pihak Bomba dan Penyelamat Mukah yang menerima panggilan kecemasan pada 6.42 petang menggegaskan jentera pemadam api bersama 10 anggota yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Bonny Martin Saging Mato ke tempat kejadian.

Kebakaran dapat dikawal pada 8.45 malam dan operasi tamat pada pukul 10 malam.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran masih dalam siasatan. – Bernama